NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila Saudara Danish Arfan Mohd Jasmi berjaya merangkul tempat ketiga dalam Pertandingan Karangan dan Syarahan Bahasa Jepun Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia kali ke-2 yang berlangsung pada 28 Mei 2025 baru-baru ini.

Pertandingan kali ini merupakan anjuran bersama Pusat Bahasa dan Kebudayaan Jepun USIM, Persatuan Pengajar Bahasa Jepun Malaysia, Fukuyama Transportation Sdn. Bhd dan ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Komaru Transportation.

Berlangsung di Dewan Kuliah 1, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM dengan menyaksikan penyertaan seramai 15 peserta dari lapan buah institusi iaitu USIM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), serta Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJII).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Kitaoka Tatsuya, Pengarah Japan Information Service, Kedutaan Jepun di Malaysia

Dalam ucapannya, beliau menyarankan agar kerjasama Malaysia–Jepun diperkukuh melalui pendekatan Baharu. “Kita perlu mengekalkan momentum ini dan membawa Dasar Pandang ke Timur ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai contoh, saya ingin mencadangkan konsep ‘Look-at-Each Other Policy’ di mana pelajar Malaysia yang belajar di Jepun dan pelajar Jepun yang belajar di Malaysia dapat saling memberi manfaat antara satu sama lain.”, ujar Tuan Kitaoka Tatsuya.

Sementara itu, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM berkata, bahasa Jepun kini ditawarkan sebagai kursus elektif di banyak IPT di Malaysia, namun penggunaannya masih terhad dalam bilik kuliah. Justeru, pertandingan ini menjadi platform penting untuk pelajar mempraktikkan bahasa Jepun secara aktif di luar kelas, selain mengasah kemahiran berkomunikasi serta menyampaikan pendapat dalam bahasa tersebut.

“Membawa tema “Pengangkutan”, setiap peserta diberi masa lima minit untuk menyampaikan syarahan serta menjawab dua soalan daripada panel juri yang terdiri daripada wakil Kedutaan Jepun, Japan Foundation Kuala Lumpur, Persatuan Pengajar Bahasa Jepun Malaysia, dan Persatuan Alumni Dasar Pandang ke Timur”, ujarnya lagi.

Majlis turut menyaksikan penyerahan inventori buku bagi “Sudut Membaca Komaru” oleh Tuan Shigehiro Komaru kepada Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani sebagai simbolik sumbangan Yayasan Komaru Transportation kepada USIM. Sumbangan ini bertujuan menggalakkan budaya membaca serta meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bahasa Jepun di USIM. Sebagai penghargaan, cenderamata turut disampaikan kepada Tuan Shigehiro Komaru dan Tuan Saito, Setiausaha Pertama Kedutaan Jepun di Malaysia.

Johan dimenangi oleh peserta dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), manakala Naib Johan dimenangi oleh peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Johan membawa pulang hadiah berupa Xiaomi Pad 7. Tempat Kedua membawa pulang hadiah Sony ULT Wireless Headphones, manakala tempat ketiga membawa pulang Garmin Vivosport Smartwatch.

Hadiah khas juri pula dianugerahkan kepada Saudari Dorithy Sasha Anak Ubang dari UPSI. Manakala sebelas peserta lain menerima hadiah sagu hati berupa wireless earphones. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Shigehiro Komaru dan Professor Toshiyuki Sato.

Pertandingan ini membuktikan komitmen USIM dalam memperkukuh hubungan akademik dan budaya antara Malaysia dan Jepun serta memupuk minat pelajar terhadap penguasaan bahasa asing secara praktikal dan berimpak tinggi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Professor Toshiyuki Sato, Presiden Fukuyama City University; Tuan Shigehiro Komaru, Presiden Fukuyama Transportation Sdn. Bhd. merangkap Pengerusi Yayasan Komaru Transportation; Tuan Ijima Isao, Penasihat Khas Kabinet Jepun; Tuan Norihisa Tsukamoto, Pengarah The Japan Foundation Kuala Lumpur; Dekan FPBU Profesor Madya Dr. Zainur Rijal Abdul Razak dan Profesor Madya Dr. Zoraida Mustafa.