NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini melakar sejarah gemilang apabila meraikan sambutan Jubli Perak sempena ulang tahun ke-25 penubuhannya dalam satu majlis penuh gemilang di Dewan Tuanku Canselor, USIM. Sambutan diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Turut hadir Pro-Canselor USIM, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tokoh-tokoh akademik, pentadbir, alumni, dan warga USIM.

Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan USIM sejak era Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) pada tahun 2000 hingga menjadi universiti tersohor hari ini.

“USIM hari ini bukan lagi sekadar universiti yang membangun, tetapi telah menjadi institusi rujukan di peringkat nasional dan antarabangsa. USIM bukan sahaja menjadi lambang kejayaan transformasi pendidikan Islam moden, tetapi juga telah berkembang menjadi universiti berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang unggul di peringkat serantau dan global”, ujar beliau.

Dari Permulaan Sederhana ke Pencapaian Bertaraf Dunia

USIM kini mempunyai lebih 1,848 warga kerja terdiri daripada 845 staf akademik dan 1,003 staf pentadbiran. Sebanyak 88% pensyarah USIM memiliki kelulusan PhD, satu pencapaian yang melepasi purata kebangsaan. Universiti ini juga menempatkan lebih 14,000 pelajar termasuk lebih 700 pelajar antarabangsa dari lebih 30 negara.

Paling membanggakan, kadar kebolehpasaran graduan USIM mencecah 97.6% pada tahun 2024 antara yang tertinggi di negara ini. Berdasarkan Talentbank’s National Graduate Employability Index, USIM turut dinamakan sebagai salah satu institusi pilihan majikan bagi tahun 2025.

Sehingga kini, USIM telah melahirkan lebih 37,000 alumni yang kini mencorak pelbagai sektor profesional di dalam dan luar negara.

Dalam bidang penyelidikan, lebih 2,476 projek dengan peruntukan melebihi RM102 juta telah dilaksanakan sejak tahun 2000, membuktikan kepercayaan pelbagai agensi dalam dan luar negara terhadap keupayaan penyelidikan USIM.

Projek Mega: Hospital Pengajar dan Kolej Kediaman

USIM turut mencatat kemajuan besar menerusi dua projek strategik iaitu pembinaan Hospital Pengajar USIM dengan peruntukan RM938 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, serta pembangunan Kolej Kediaman yang akan menampung 5,000 pelajar di kampus Nilai menjelang tahun 2028.

“Kedua-dua projek ini adalah aspirasi lama yang kini sedang direalisasikan demi membina ekosistem pembelajaran yang lebih holistik buat mahasiswa,” ujar Naib Canselor.

Inovasi Komuniti dan Keterlihatan Global

USIM turut membuktikan komitmen sosialnya menerusi program USIM Living Lab di Chow Kit satu inisiatif pemindahan ilmu dan inovasi sosial yang membolehkan penyelidik dan pelajar mengaplikasikan ilmu dalam konteks masyarakat rentan. Inisiatif ini menjadi medan latihan kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Sementara itu, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) terus memperkasa peranannya sebagai institusi rujukan OKU, termasuk kerjasama penerbitan Buku Panduan Haji Braille bersama Tabung Haji, serta pelancaran aplikasi al-Quran Isyarat yang direkodkan dalam Malaysia Book of Records.

Paling terkini, UMMI mencipta sejarah dengan pelancaran eBrelle, komputer riba khas untuk OKU penglihatan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan antara yang pertama di dunia.

Meneroka Masa Depan Pendidikan Tinggi Islam

USIM juga telah mengambil langkah proaktif untuk menyesuaikan diri dengan cabaran semasa termasuk keterlibatan dalam teknologi AI generatif. Penekanan terhadap pembangunan konsep “AI Syariah” dijangka menjadi tonggak baharu dalam evolusi pengajaran dan pembelajaran USIM.

Naib Canselor turut menekankan kepentingan penarafan universiti sebagai agenda utama dalam menarik minat pelajar antarabangsa dan memartabatkan jenama USIM di peringkat global.

Pelancaran Buku dan Blueprint Kewangan Islam

Majlis turut menyaksikan pelancaran dua penerbitan buku “25 Tahun USIM” dan “USIM Blueprint Islamic Finance” sebagai dokumen strategik ke arah menjadikan USIM sebagai “power house” kewangan Islam di Malaysia dan rantau ini.

Sambutan turut diserikan dengan sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku Canselor, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud pada 19 Jun 2025.