NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi menganjurkan Majlis Korban Perdana menzahirkan semangat kebersamaan serta keprihatinan warga kampus terhadap golongan yang memerlukan sempena sambutan Aidiladha dalam suasana yang penuh meriah dan bermakna di perkarangan Kompleks Islam Tuanku Muhriz. Seramai 170 petugas yang terdiri daripada warga kerja USIM, ahli kariah Kompleks Islam USIM serta pelbagai badan pelajar termasuk Sekretariat Pusat Islam (SPI), Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM), Rakan Siswa YADIM (RSY) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Pengarah Pusat Islam, Ustaz Razman Ibrahim berkata, sebanyak lapan ekor lembu korban tahun ini; tujuh daripadanya disembelih di kampus USIM, manakala seekor lagi di Ladang Ginching Lanjut, Labu. Dua daripada lembu tersebut merupakan sumbangan ikhlas daripada RHB Bank dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

“Lebih bermakna, tahun ini turut menyaksikan perasmian tempat penyembelihan dan kandang lembu yang baharu siap dibina, menandakan kemajuan dalam pengurusan program korban USIM. Majlis penyembelihan diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Murshaddad Hasbullah, manakala Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut hadir memeriahkan acara”.

Ujarnya lagi, sebanyak 49 bahagian korban telah disertai oleh staf USIM dan ahli keluarga mereka, mencerminkan komitmen dan sokongan padu dalam program ibadah tahunan ini. Daging korban ini akan diagihkan kepada warga kampus termasuk golongan asnaf, fakir dan pelajar.

Selain itu, Dapur USIM turut menyediakan juadah istimewa berupa sup daging dan tulang untuk dinikmati bersama 1,000 para tetamu dan jemaah selepas solat Zuhur.

Majlis Korban Perdana ini bukan sahaja menyuburkan semangat penghayatan ibadah korban, malah turut memperkukuh jalinan ukhuwah antara warga universiti dan masyarakat setempat.

Oleh: Nurul Fathihah Shaipol Azman