NILAI, 10 Jun 2025 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada semua mangsa kemalangan bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Jeli–Gerik baru-baru ini, khususnya kepada ahli keluarga pelajar yang telah meninggal dunia dalam insiden tragis tersebut.

Sebagai tanda solidariti dan sokongan berterusan, USIM melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM2,000.00 kepada UPSI bagi tujuan kebajikan mangsa dan keluarga terlibat. Penyerahan dibuat oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Salleh, Pengarah PWZ kepada Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani yang turut disaksikan oleh ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU).

Selain sumbangan kewangan, USIM melalui Majlis Perwakilan Pelajar juga telah mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil khas di Pusat Islam USIM pada malam Isnin, sejurus selepas solat Maghrib. Majlis tersebut dihadiri lebih 100 orang yang terdiri daripada pelajar, staf serta warga universiti yang hadir bagi menyampaikan doa dan sokongan rohani kepada mangsa serta keluarga.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani Naib Canselor berkata, USIM merakamkan rasa dukacita atas musibah yang menimpa pelajar-pelajar UPSI. “Saya mewakili USIM ingin menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga pelajar yang terkorban dan mendoakan agar semua mangsa yang tercedera segera pulih. Kami amat memahami kesakitan yang ditanggung dalam detik mencabar ini, dan mahu seluruh warga UPSI tahu bahawa mereka tidak berseorangan.”

“Selain bantuan kewangan, USIM juga memberikan sokongan moral dan rohani melalui majlis tahlil, dan akan meneruskan kutipan dana melalui Tabung USIM Prihatin bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan.”

Bagi memperluas usaha kebajikan ini, USIM turut melancarkan kempen derma kilat bermula 9 hingga 16 Jun 2025 melalui pautan https://shorturl.at/jBtet , di bawah inisiatif Tabung USIM Prihatin.

Dengan semangat solidariti dan ukhuwah antara institusi, USIM menyeru seluruh warga kampus serta masyarakat untuk bersama-sama menyokong usaha murni ini dalam meringankan beban mereka yang terkesan.

 

Oleh: Nurul Husna Annuar