KUALA LUMPUR, 22 MEI 2015 –Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) rangkul lima Emas dan satu perak dari enam produk yang dipertandingkan di pentas ITEX 2015 yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 21 hingga 23 Mei bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru baru ini.
Kejayaan yang dicapai oleh para penyelidik USIM ini merupakan satu kejayaan membanggakan universiti dan ia adalah hasil usaha dari Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon, Dr. Azman Ab Rahman, Dr. Hishamuddin Abdul Wahab, Dr. Ahmad Wifaq Mohktar, Mahyuddin Hashim, dan Dr. Abdul Rahman Hassan.
Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon, pesnyarah dan Timbalan Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang mempertandingkan produk Informer On Site iaitu aplikasi telefon pintar pemakluman laporan mengenai bencana alam seperti banjir, kejadian tanah runtuh. Ia akan dihantar secara automatik kepada pegawai agensi yang bertanggungjawab dengan mengesan lokasi dan gambar yang dikongsikan.
Seterusnya, Dr. Azman Ab Rahman Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang mempertandingkan produk MYEMA version 3.0 (Entrepreneur Monitoring Apps) iaitu aplikasi yang akan melakukan pemantauan terhadap prestasi usahawan dari segi belanjawan dan prestasi Asnaf.
Dr Hishamuddin Abdul Wahab, Ketua Program Fakulti Sains dan Teknologi mempertandingkan produk EZ Pay version 1.1 perisian atau software bayaran kad kredit yang lebih sistematik. Ia kombinasi empat aplikasi iaitu easy payment plan, credit card manager, calculator dan spending tracker.
Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, Timbalan Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) mempertandingkan The Model of Maqasid al-Shariah (MMS) for Decision-Making Process in Critical Medical Treatment iaitu garis panduan kepada pegamal perubatan untuk membuat keputusan patuh syariah dalam kes-kes kritikal yang melibatkan nyawa.
Mahyuddin Hashim tutor Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah mempertandingkan produk Smart IQRA’ Braille iaitu alat untuk mengajar asas dalam membaca quran braille bagi pelajar yang mempunyai masalah penglihatan dengan menggunakan aplikasi komputer. Produk ini turut mendapat anugerah INPEX (Excellent Award Pittsburgh USA).
Dr. Abdul Rahman Hassan, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi mempertandingkan produk Novel Chitosan-Bio-Waste Active Ultrafiltration (Chitobauf) Membranes for Bio-Industry iaitu membran dari sisa sumber bio asli yang digunakan untuk industri bio antaranya seperti penulenan enzim, rawatan sisa air dan pemprosesan makanan.
Pameran bertaraf antarabangsa anjuran MINDS (Malaysian Invention and Design Society) ini adalah kali ke 26 pada tahun ini, dan ia merupakan satu platform kepada pencipta tempatan dan antarabangsa serta para saintis dari bidang sains dan teknologi yang membawa bersama ciptaan terkini dan inovasi oleh university, Institut penyelidikan, pencipta individu dan syarikat-syarikat dari negara-negara ASEAN, Asia dan Eropah.
Turut diadakan National Innovation Conference and Exhibition (NICE) 2015 di mana pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM dipilih sebagai Finalis Anugerah Inovasi Negara yang mempertandingkan produk ‘HURMA – Advanced Hospital Attire’.
Dsediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204