NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkasa agenda keterangkuman pendidikan tinggi, khususnya melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Inisiatif pemberian yuran pengajian percuma kepada semua pelajar OKU di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti disifatkan sebagai satu dasar berimpak tinggi yang mencerminkan prinsip keadilan sosial, kesaksamaan peluang serta pendekatan berteras ihsan, dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pendidikan negara.
Menurut Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, inisiatif berkenaan merupakan satu pengiktirafan penting terhadap keupayaan dan potensi pelajar OKU dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
“USIM menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif pemberian yuran pengajian percuma ini kerana ia bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar OKU dan keluarga mereka, malah membuka ruang akses yang lebih luas dan adil kepada pendidikan tinggi. Dasar ini membuktikan komitmen Kerajaan Madani yang benar-benar cakna terhadap keperluan golongan OKU,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa USIM telah lama komited dalam memperjuangkan agenda pemerkasaan OKU melalui penubuhan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) yang berfungsi sebagai Unit OKU USIM. UMMI beroperasi menggunakan model hibrid sebagai pusat perkhidmatan OKU dan pusat penyelidikan inklusif dalam menguruskan hal ehwal OKU, selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di institusi pendidikan tinggi yang dilancarkan pada tahun 2019.
“Melalui UMMI, USIM berperanan aktif dalam membangunkan ekosistem kampus yang mesra OKU, inklusif dan kondusif, selari dengan aspirasi pendidikan berteraskan nilai Rahmatan lil ‘Alamin. Selaras dengan visi USIM, UMMI terus komited memperjuangkan agenda OKU melalui penyelidikan berasaskan nilai, latihan dan pembangunan bakat, advokasi dasar serta pelaksanaan program yang menyumbang kepada kesejahteraan dan kelestarian warga USIM serta masyarakat,” katanya lagi.
USIM turut menegaskan komitmen berterusan universiti ini selaras dengan matlamat KPT dalam memperkasa agenda OKU di peringkat pendidikan tinggi, demi melahirkan graduan yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara.
Seiring dengan pelaksanaan dasar ini, USIM berhasrat untuk terus mempertingkatkan kemudahan dan prasarana mesra OKU di kampus bagi memastikan kesaksamaan akses pendidikan kepada semua pelajar OKU. Usaha tersebut merangkumi penambahbaikan infrastruktur bangunan, pengangkutan dalaman kampus, kemudahan akademik serta sokongan kebajikan, bagi menjamin pengalaman pembelajaran yang inklusif dan holistik.
Oleh: Khairunnisa Ismail