NILAI – Program Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat USIM yang dimulakan sejak tahun 2010 yang diurusetiakan oleh Pusat Tamhidi telah menampakkan hasil yang membanggakan dengan pelbagai program telah diadakan bersama pihak sekolah terbabit seperti penganjuran seminar, kem kepimpinan, program pemantapan bahasa serta dilibatkan secara langsung dalam program rasmi USIM.

Melihat kepada komitmen yang amat tinggi diberikan oleh USIM dalam melaksakanan pelbagai program bersama Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat ini, permohonan daripada pihak pengurusan sekolah dan ibu-bapa agar sekolah anak-anak mereka turut diambil  menjadi sekolah angkat di bawah USIM sentiasa ada.

Sehingga kini, sebanyak empat buah Sekolah Kluster telah ditindikkan khusus oleh Kementerian Pelajaran Malaysia  kepada USIM selain 12 buah sekolah angkat yang mana majlis penyerahan watikah perlantikan telah disampaikan  kepada pengetua-pengetua sekolah ini pada awal tahun 2012.

Justeru, baru-baru ini sebanyak tiga buah sekolah angkat lagi telah menerima watikah perlantikan yang disampaikan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM dalam satu majlis khusus di Dewan Senat. Ketiga-tiga sekolah berkenaan ialah MRSM Kota Putra (Besut,Terengganu), SMKA Putrajaya (Putrajaya) dan SMA (Arab) An-Nur (Benut, Johor) menjadikan USIM kini mempunyai 15 buah sekolah angkat kesemuanya.

“USIM tidak mahu menjadi sebuah IPTA yang biasa, Universiti ini mempunyai matlamat, visi dan misi yang penting untuk membawa Pendidikan Islam ke arus perdana dan tanggungjawab ini dilaksanakan sebaik mungkin dan salah satu pendekatannya adalah melalui projek Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat” ujar Naib Canselor dalam ucapannya.

“Kita di sini amat komited untuk mensinergikan hubungan strategik yang terjalin ini untuk melahirkan para pelajar yang berjiwa Al-Abrar dan bersifat wasatiyyah” tambahnya lagi dalam majlis yang turut dihadiri oleh YBhg. Profesor Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Nurlida Basir, Pengarah Pusat Tamhidi, Puan Suhaili Abd Jalil, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa serta barisan Pengetua dan Guru Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat USIM.

Selain daripada majlis ini, turut diadakan Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat USIM Bil.2/2012 yang dipengerusikan oleh YBhg. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat USIM bersama para pengetua dan guru sekolah yang terlibat untuk menerokai bidang kerjasama baru yang boleh dilaksanakan secara bersama selain memantapkan lagi pengisian program sedia-ada.

Oleh :
Mohd Zaini Othman
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa