NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima kehadiran istimewa apabila Duta Besar Republik Yaman ke Malaysia, Dr. Adel Mohamed Ali Ba Hamid, mendaftar sebagai pelajar baharu pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Sumber Manusia di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).

Pendaftaran rasmi beliau berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), USIM, sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Siswazah Semester 1 Sesi Akademik 2025/2026 bersama 494 pelajar siswazah lain.

Sebelum bergelar diplomat, Dr. Adel merupakan seorang doktor perubatan lulusan Universiti Aden, Yaman dalam bidang Perubatan dan Pembedahan (1999), seterusnya melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam Perubatan Komuniti dan Kesihatan Awam pada tahun 2007.

Peralihan beliau daripada bidang perubatan kepada pengajian sumber manusia pada peringkat PhD menggambarkan minat mendalam terhadap aspek kepimpinan, organisasi dan pembangunan insan, selaras dengan tanggungjawab beliau sebagai duta besar.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, menyifatkan kehadiran beliau sebagai sesuatu yang membanggakan.

“Kemasukan Dr. Adel membuktikan bahawa USIM terus diyakini oleh pelajar antarabangsa. Kehadiran seorang duta besar sebagai pelajar PhD di universiti ini adalah satu penghormatan besar, dan kami percaya pengajian beliau akan memberi nilai tambah bukan sahaja kepada dunia akademik tetapi juga kepada hubungan Malaysia–Yaman,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Adel berkata keputusan beliau menyambung pengajian di USIM adalah selari dengan aspirasi pengajian integrasi ilmu naqli dan aqli.

“Saya memilih USIM kerana universiti ini menonjol dalam integrasi Naqli dan Aqli. Saya yakin suasana akademik di sini akan membantu saya menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat Yaman, Malaysia dan dunia Islam,” ujarnya.

Penglibatan seorang duta besar sebagai pelajar PhD di USIM turut memberi inspirasi kepada warga kampus, khususnya pelajar antarabangsa lain yang melihat Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menimba ilmu.

Ia juga membuktikan bahawa USIM bukan sahaja menyediakan ruang akademik berkualiti, malah menawarkan suasana kondusif untuk jaringan diplomatik dan budaya.

 

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani