GONTOR, 31 Jan 2014 – Lawatan Penanda Aras oleh Pengurusan Tertinggi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terlaksana setelah sesi pertemuan bersama Warga Institut Studi Darussalam (ISID), Pondok Modern Gontor dan Rumah Sakit JIH Yogyakarta, Indonesia diraikan dan disambut baik oleh mereka.
Melewati hari-hari indah selama 5 hari 4 malam bermula pada 30 Januari 2014 hingga 3 Februari 2014 sangat memberi pengisian bermakna dan impak berkesan buat seluruh delegasi USIM seramai 24 orang yang diketuai oleh Naib Canselor USIM, YBhg Prof Dato Dr Asma Ismail.
Lawatan kerja ke ISID yang merupakan rakan strategik USIM serta hospital di bawah kelolaan Universitas Islam Indonesia (UII) iaitu Rumah Sakit JIH, Yogyakarta mempunyai misinya tersendiri. ISID yang bersifat mandiri ini telah menarik minat Naib Canselor USIM untuk mempelajari aspek pembangunan dan pengurusan institut yang ditadbir menerusi pembiayaan wakaf serta penjanaan kewangan dari perusahaan yang dijalankan sendiri oleh pelajar di universiti berkenaan.
JIH Hospital yang merupakan hospital swasta dijalankan oleh Badan Wakaf Universitas Islam Indonesia (BW UII). Konsep yang didukung oleh USIM yang diketengahkan oleh JIH Hospital untuk membangun taraf hidup masyarakat yang sihat dengan memberi khidmat layanan yang mematuhi syariah dan nilai-nilai Islam serta teknologi terkini menuntut delegasi USIM mempelajari sedikit sebanyak ilmu baharu. Ia bertepatan dengan perkembangan USIM kini yang bakal menguruskan Klinik Pakar Kesihatan USIM yang dikendalikan oleh doktor pakar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg) USIM serta Pusat Hemodialisis setelah Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf USIM menerima RM3.5 juta daripada pihak MAINS.
Selain untuk mengukuhkan kerjasama dua hala antara USIM bersama ISID dan UII yang sedia terjalin, Pengurusan Tertinggi USIM berkehendak untuk meninjau aspek-aspek inovasi, kecemerlangan dan amalan baik ISID yang boleh diadaptasi ke USIM dalam usaha memantapkan operasi terutamanya dari segi penjanaan kewangan universiti dan program keusahawanan serta mempelajari semangat kesukarelawan kakitangan di sana. Pertemuan ini dikukuhkan dengan sesi perbincangan dan percambahan idea bersama ISID tentang aktiviti bagi SEIPTI 2014 yang boleh dilaksanakan sama ada menerusi perlawanan sukan atau pertandingan seni kebudayaan yang boleh diketengahkan dan dijayakan secara bersama.
Timbalan Rektor ISID, Profesor Dr Amal Fathullah Zarkasy dalam ucapannya menyatakan bahawa beliau sangat mengagumi USIM sebagai sebuah IPTA yang mengamalkan dan menerapkan ilmu akhirat dalam kurikulum. Malah beliau sendiri berharap agar lawatan kerjasama ini bakal memberi outcome yang telah disasarkan dan dapat menjalin kerjasama dan ukhuwah yang lebih erat .
Dalam ucapan balas oleh Naib Canselor USIM, beliau mengimbau kembali saat pertemuan mereka di Brunei yang mana diberitahu bahawa tiada bayaran yang diterima oleh tenaga pengajar di ISID dalam mencurahkan ilmu kepada warga pelajarnya. Inilah konsep wakaf jiwa yang menjadi amalan warga pendidik serta pengurusan tertinggi Pondok Modern Gontor yang mengabdikan serta mengorbankan seluruh tenaga, masa dan usaha dalam membangunkan pelajar dan institusi berkenaan. Atas dasar ini, YBhg Prof Dato Dr Asma Ismail amat tertarik untuk membawa delegasi USIM ke ISID bagi mempelajari dan berkongsi ilmu dalam misi memperjuangkan serta menyampaikan ilmu kepada warga USIM.
“Amat menggembirakan apabila Integrasi ilmu Naqli (Wahyu) dan Aqli (Rasional) telah menjadi dasar pendidikan dalam ucapan Amanat oleh Timbalan Perdana Menteri. Pencapaian itu membuktikan dakwah dalam pembelajaran dan pengajaran tidak mustahil dapat diteruskan melalui kurikulum yang dikomersialkan kerana ianya sendiri telah terbukti kini mendapat perhatian oleh Kerajaan Malaysia”.
Turut diperkenalkan adalah wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM iaitu Muhammad Azmil Abu Seman dan Muhammad Azizi Alias yang menjadi duta kecil USIM bagi meneroka konsep “Community Enggagement” yang diamalkan oleh ISID untuk dibawa ke USIM sebagai perkongsian bersama rakan pelajar yang lain. Ia sejajar dengan hasrat Naib Canselor untuk menjadikan USIM terkehadapan dan nombor satu di hati masyarakat melalui aktiviti libatsama masyarakat yang telah pun menjadi budaya pembelajaran pelajar USIM seperti program Global International Student Outreach (GISO) yang semakin rancak dijalankan tiap tahun.
Kedatangan delegasi USIM disambut baik malah amat mengharukan apabila segala fasiliti lengkap tersedia telah diatur oleh ISID. “Saya beranggapan adalah sesuatu yang unik dan istimewa apabila sebuah institut yang bersifat mandiri ini mampu berdiri teguh dan terus berkembang dengan hanya memperoleh sumber pendapatan dan janaan kewangan melalui perusahaan yang dijalankan. Konsep yang dilaksanakan inilah yang seharusnya dirungkai untuk dipraktikkan dan diambil iktibar oleh delegasi USIM,” ujar Naib Canselor USIM mengakhiri ucapannya.
YBhg Prof Dato Dr Asma Ismail diberi penghormatan untuk memberi ucaptama selepas solat Maghrib di Masjid Pondok Modern Darussalam Gontor Putri
Penyerahan cenderamata oleh Dr. Amal Fathullah Zarkasyi, Timbalan Rektor selepas Dialog Bersama Ketua-ketua Lembaga Tinggi Pondok Modern Darussalam Gontor
Hari terakhir delegasi USIM bergambar bersama jururawat dan sebahagian pentadbir sebelum berangkat pulang ke Malaysia
Kunjungan USIM ke Jogja International Hospital (JIH) disambut baik oleh pengurusan dan pentadbiran Hospital mengakhiri Lawatan Rasmi Delegasi USIM
Ceria Pengurusan Tertinggi USIM bersama anak-anak Pondok Modern Darussalam Gontor Putri
Delegasi USIM menunjukkan bakat di acara Pentas Seni bersama Mahasiswi ISID
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Penolong Pendaftar