KUALA LUMPUR, 6 Mac 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) jalin kerjasama strategik dengan TM Technology Services Sdn Bhd (TM One) di satu majlis meterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha untuk meningkatkan transformasi pendigitalan serta pemerkasaan agenda ICT di USIM.
USIM diwakili oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Sharifudin Md Shaarani, manakala TM One diwakili oleh Puan Shazurawati Abdul Karim
Naib Presiden Eksekutif TM One.
Melalui kerjasama ini, tiga teras akan dibangunkan iaitu penciptaan ekosistem inovasi, pembangunan bakat serta perkongsian pandangan mengenai pendidikan tinggi serta trend perniagaan.
Naib Canselor Prof Dato Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, betapa pentingnya teknologi ICT ketika tempoh pandemik Covid-19 yang lepas, System Development and Engineering Centre (SDEC) USIM berperanan bagi memastikan warga USIM terutamanya di kalangan pelajar tidak tertinggal di dalam dunia penuh gangguan (disruptive).
“USIM telah melancarkan ‘Smart University Blueprint’ (Al-Jamiah Al-Mubarakah) dan Pelan Strategik ICT (ISP) RMK-12 pada 28 Mei 2021 yang memfokuskan kepada inisiatif-inisiatif digital selari dengan usaha MyDIGITAL di peringkat Kebangsaan”.
Ujarnya lagi, terdapat 5 kluster dengan 13 inisiatif yang telah digerakkan sejak 2018 lagi dan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Inisiatif ini juga bertepatan dengan saranan YB Menteri Pendidikan Tinggi melalui Perutusan Tahun Baharu 2023 agar setiap universiti memperkasakan agenda pendigitalan.
“Kita sedar peranan industri seperti Telekom Malaysia Berhad dalam membantu universiti mewujudkan ekosistem digital di universiti sangat penting. Untuk terus maju dalam dunia digital tanpa sempadan ini, USIM perlu menjalinkan kerjasama strategik bersama rakan industri agar teknologi imersif seperti Pengkomputeran Awan (Cloud), Data Raya (Big Data), Internet of Thing (IoT), Augmented Reality, Virtual Reality, Metaverse dan sebagainya dapat diadaptasi dengan lebih cepat”, beliau menambah.
Hadir sama adalah Profesor Madya Dr. Mohd Zalisham Jali Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan Ts. Mohd Saiful Abdul Samad Pengarah Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan