NILAI, 9 Julai 2020 –  Covid-19 telah mengakibatkan pembelian dan penggunaan PPE (personel protective equipment) seperti pelitup muka meningkat secara mendadak di kalangan orang awam di seluruh dunia termasuk Malaysia. Daripada satu aspek, ini menandakan bahawa masyarakat dunia peka terhadap penjagaan kesihatan diri daripada Covid-19.

USIM mengambil inisiatif untuk melihat pada salah satu isu pasca Covid-19 yang terkesan secara global iaitu pembuangan pelitup muka terpakai daripada sumber orang awam.

Beberapa inisiatif melalui pendekatan secara glokal telah dikenalpasti dan ini bermula dengan perancangan pelaksanaan untuk Kempen #USIMjagasemua: Program Kesedaran Dan Pendidikan Impak Pembuangan Pelitup Muka Secara Berkesan.

Program ini dijalankan oleh satu pasukan PPE Disposal Taskforce terdiri daripada beberapa penyelidik USIM daripada berbagai bidang yang merangkumi bidang kesihatan, alam sekitar, perundangan, ekonomi dan juga fiqh.

Menurut Dr Nuruliza Roslan selaku pengarah program, peningkatan pembuangan pelitup muka yang terpakai amat merisaukan dan menjadi satu kebimbangan yang besar kerana impaknya dari segi kesihatan dan keselamatan manusia sejagat serta kepada alam sekitar di mana telah dilaporkan bahawa lambakan pelitup muka terpakai ini telah dijumpai di perairan laut dalam.

”USIM bertindak sebagai pilot program dalam menyediakan SOP tong sampah khas untuk pembuangan pelitup muka terpakai. Pada peringkat awal ini, perbincangan bersama sekolah telah pun di mulakan dengan Sekolah Menengah Agama Nilai yang merupakan sekolah angkat USIM”.

”Kami berpandangan bahawa ianya akan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan juga negara dalam memastikan penjagaan kesihatan dan juga alam sekitar terpelihara”, tambah Dr Nuruliza Roslan.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Gambar ihsan dari Bernama, Harian Metro.