Bandar Baru Nilai, 24 Mac 2011 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Negara Brunei Darussalam semalam bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik dan pentadbiran.

Pada majlis itu, USIM diwakili  oleh Naib Canselor  sendiri, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dan UNISSA pula oleh Rektornya, Yang Mulia Dr. Haji Serbini Haji Matahir.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Profesor Dr. Musa Ahmad; Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr Siti Sara binti Haji Ahmad; Dekan Penyelidikan dan Inovasi USIM, Profesor Dr. Hajah Mustafa Mohd Hanefah; Pendaftar USIM, En. Muhammad Haizuan Rozali; Ahli Jawatankuasa Pengurusan USIM dan 3 orang pegawai UNISSA.

Menurut Naib Canselor USIM, MoU ini merupakan usaha bersama untuk memperkukuhkan lagi bidang pendidikan dan juga hubungan muafakat diantara kedua buah universiti.

“Muafakat itu Ibarat lidi, jika sebatang mudah untuk dipatahkan, tetapi bila ia banyak dan diberkas ianya akan menjadi kukuh dan kuat” ujar beliau ketika memberikan ucapan aluan pada majlis tersebut.

Selain itu tambahnya, kerjasama ini turut melibatkan program pertukaran kakitangan, pertukaran pelajar, bengkel, latihan dan kursus bersama; mengadakan seminar dan persidangan bersama serta kerajasama dalam projek penyelidikan dan pembangunan.

Dalam pada itu, Rektor UNISSA dalam ucapannya, beliau memuji dan kagum dengan kejayaan USIM yang telah berjaya menempa nama dalam masa yang begitu singkat di dalam pelbagai bidang baik di peringkat serantau mahupun peringkat antarabangsa.

Tambah beliau lagi. “USIM dan UNISSA juga akan bekerjasama dalam perkongsian maklumat dan sumber ilmu dalam membangunkan umat Islam di Brunei dan Malaysia”

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia

Tel: 06-798 8027