NILAI, 22 Februari 2021 –  Menyahut saranan Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam merealisasikan konsep prosumer di USIM, Pusat Sukan melalui projek prosumerisme program tanaman nenas MD2 telah memulakan langkah dengan mengusahakan  kawasan terbiar di sekitar Kompleks Sukan Tunku Najihah.

Bermula februari 2020, Pusat Sukan telah mengusahakan secara kecil-kecilan tanaman nenas MD2 ini, dan pada Julai 2020 ketika aktiviti riadah diberhentikan kerana pandemik Covid19 tanaman ini telah mendapat sambutan beberapa kakitangan USIM dengan  memulakan penanaman awal sebanyak 1000 pokok dengan menggunakan peruntukan kakitangan USIM yang terlibat.

Menurut Encik Nur Ekhmal Buhary Pegawai Belia dan Sukan USIM selaku ketua projek berkata, prosumerisme merupakan konsep yang mampu menjamin kelestarian sumber dan mengurangkan kebergantungan sesuatu entiti terhadap sumber luar. Ia merupakan agenda yang boleh menghasilkan impak tinggi kepada USIM jika dilaksanakan dengan baik. Penyediaan kertas kerja ini bertujuan untuk menerangkan pelaksanaan agenda Prosumerisme dalam kalangan warga USIM, khasnya pelajar, alumni dan staf. Usaha ini adalah untuk memperkasa kemahiran warga USIM dalam mendepani cabaran global yang tidak menentu.

“Objektif utama pelaksanaan projek ini adalah untuk meningkatkan penglibatan warga USIM dalam agenda Prosumerisme dengan mengurangkan kebergantungan warga USIM terhadap sumber luar dengan pelaksanaan tiga projek yang dicadangkan, meningkatkan pendapatan warga USIM terutamanya golongan B40 dalam meneruskan kelangsungan hidup pasca pandemik global.
Ia juga bagi meningkatkan bilangan syarikat milik warga USIM yang berdaftar dengan SSM (Job Creator) dan meningkatkan bilangan inkubator keusahawanan berasaskan prosumerisme di dalam USIM bagi menjana ekonomi Negara yang mampan dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0)” jelasnya.

Encik Ekmal berkata lagi, Pusat Sukan telah dipilih sebagai peneraju Projek Prosumer Nenas MD2 peringkat Universiti. Setakat ini, Sesi Asas Pra Pengenalan Tanaman Projek Prosumer Nenas MD2 telah dilaksanakan dengan penglibatan 25 peserta yang dijalankan di Pusat Sukan. Selain itu juga, penyediaan Stater Kit Tanaman iaitu 50 sulur dan 10 beg tanah organik, polybeg dan baja telah diagihkan kepada Pusat Tanggungjawab (PTj) Jabatan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan dan Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Perumahan Pelajar & Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan. Juga projek penanaman Polybeg MD2 bersama komuniti iaitu di Banting dan juga Surau Al-Falah Mantin telah berjaya dilaksanakan baru-baru ini.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan