NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Yayasan RI pada 7 Ogos 2025 bertempat di IshaRI Lounge Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.

Jaringan kerjasama USIM dan Yayasan RI ini ini menjadi titik tolak kepada kesungguhan kedua-dua pihak untuk meraikan komuniti OKU, khususnya OKU Pendengaran, agar mereka dapat mendalami Quran dengan cara yang lebih berkesan, sejajar dengan kekuatan dan potensi yang dimiliki. Kerjasama ini juga merupakan satu langkah signifikan dalam menyokong Agenda Malaysia MADANI, yang menekankan aspek keterangkuman sosial, keadilan dan kesejahteraan sejagat.

Simbolik pertukaran dokumen perjanjian ini telah dilaksanakan oleh Naib Canselor USIM, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Pemegang Amanah Yayasan RI, Tuan Haji Mohd Faizul Surani.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Operasi Dar Al Qari Resources, Tuan Haji Jailani Jantan yang telah menyampaikan ucapan mewakili pihak Yayasan RI; yang antara lain menzahirkan harapan agar kerjasama ini menjadi penggerak kepada lebih banyak usaha seumpamanya pada masa akan datang. Perjanjian ini berkuat kuasa mulai bulan Januari 2025 dan akan berjalan selama tempoh enam tahun.


Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, USIM amat bertuah kerana berpeluang memeterai jalinan kerjasama dengan pihak Yayasan RI dan kerjasama ini jelas mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menjulang prinsip keterangkuman (inclusivity) dan pendidikan untuk semua, selaras dengan hasrat negara dalam membangunkan masyarakat yang lebih prihatin, berdaya saing dan mampan.

“Kerjasama ini sekaligus akan menyemarakkan aspirasi USIM untuk terus unggul sebagai universiti rujukan dalam bidang integrasi ilmu Naqli dan Aqli”,” ujarnya lagi.

Majlis ini turut menyaksikan Prapelancaran Font Rasm IshaRI, satu inovasi baharu yang dibangunkan bagi memenuhi permintaan komuniti OKU Pendengaran untuk mendalami Quran. Beberapa huruf telah dikenal pasti untuk diubahsuai bentuk tulisan bagi memudahkan komuniti istimewa ini membaca Quran dengan lebih berkesan dan mesra OKU Pendengaran di seluruh dunia. Font Rasm IshaRI ini juga akan digunakan dalam penulisan dan penerbitan Mushaf Quran Isyarat secara berperingkat.

USIM dan Yayasan RI percaya melalui gabungan kepakaran, pengalaman dan aspirasi bersama, inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi besar dalam pendidikan Quran dan seterusnya membina masyarakat berilmu, inklusif dan sejahtera.

 

Oleh: Khairunnisa Ismail