UNITED KINGDOM, 25 Julai – Diundang sebagai salah seorang pembentang dalam slot ‘Women in Science, Juggling Balls-Family and Physiology’ memberi ruang kepada Prof Madya Dr Rafidah Hanim, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkongsi pandangan mengenai kejayaan golongan wanita di Malaysia dalam kerjaya dan keluarga.

Beliau yang merupakan pensyarah Perubatan dan Fisiologi menganggap peluang menjadi salah seorang panelis di pentas antarabangsa bersama-sama lima (5) orang lagi panelis dari Brazil, USA, Mexico, Australia dan Nigeria untuk berkongsi pandangan bersama para peserta merupakan satu pengiktirafan kepada ahli akademik dari Malaysia dan USIM khususnya.

Pembentangan anjuran Biochemical Society, International Union of Physiological Sciences (IUPS) yang diadakan di The International Convention Centre, Birmingham United Kingdom merupakan platform kepada setiap panel membincangkan perspektif berkaitan bagaimana mengimbangi kerjaya dan keluarga dalam kehidupan seharian dalam ruang lingkup budaya serta amalan negara yang berlainan.

“Sebagai wanita Muslim, tiada halangan di Malaysia untuk isteri bekerja membantu para suami asalkan mendapat keizinan dan sokongan daripada keluarga.  Tiada perbezaan ketara antara budaya wanita di Malaysia dengan wanita negara lain, cuma yang menjadi asas penting adalah perlunya wanita bekerjaya untuk bijak mengimbangi komitmen pada tugas dan tanggungjawab pada keluarga. Ini adalah multitasking yang memerlukan pengurusan masa yang baik.” ujarnya dalam seminar tersebut.

Dalam sesi perkongsiannya, Dr Rafidah bersetuju dengan pendapat ahli panel Amerika Syarikat bahawa wanita bekerjaya harus mampu memikul pelbagai tugasan dalam satu masa disamping berupaya membuat keputusan sendiri terhadap sebarang situasi. Dr Rafidah menegaskan, dasar negara Malaysia yang memberi peluang samarata tanpa mengamalkan diskriminasi jantina telah berjaya membantu memacu kemajuan wanita dalam pelbagai bidang, antaranya Sains.

Statistik dari Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menunjukkan peningkatan peratusan wanita di Malaysia yang bekerja iaitu 44.7% tahun 1995 kepada 47.3 tahun 2004.  Grant Thornton International Business Report (IBR) menyebut peratusan wanita bekerja di Malaysia adalah paling tinggi iaitu 40%  berbanding Thailand, 37% dan Singapura 36%. Malahan, 26% daripada 40% wanita Malaysia yang bekerja terlibat sebagai pembuat dasar di posisi penting sesuatu organisasi antaranya di sektor perniagaan dan korporat.

Dr Rafidah juga berpandangan, wanita seharusnya diberi peluang dilantik ke suatu jawatan penting di sesebuah organisasi kerana kepakaran mereka dan bukannya atas faktor mengisi kuota semata-mata.

“Golongan isteri bekerjaya berperanan sebagai tulang belakang kepada suami untuk menambah pendapatan keluarga.  Tiada halangan budaya atau agama kepada kemajuan wanita kerana Islam membenarkan wanita keluar bekerja dan membina karier selagi tanggungjawab hakiki kepada keluarga tidak terabai”.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar StraComm

Dikemaskini oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm