NILAI, 4 JUL 2015 – Bergema alunan bacaan ayat- ayat suci Al-Quran memenuhi ruang Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila 1500 peserta menyertai Majlis Khatam Perdana anjuran Pusat Islam USIM di sini.
Julung kali diadakan tahun ini sempena meraikan keberkatan bulan Ramadhan dan Nuzul Al-Quran, para peserta yang terdiri daripada para pelajar dan kakitangan USIM bermula kira-kira jam 6.00 petang. Memimpin majlis khatam perdana ini adalah pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah iaitu Ustaz Anuar Hasin yang merupakan Johan Tilawah Al-Quran Kebangsaan 2013 dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abd Rahman, finalis rancangan Akademi Al-Quran terbitan TV9 sebelum ini.
“Alhamdulillah, program ini mendapat sokongan Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) dan Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (PEKERTI). Yang Dipertuanya, YM Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin yang juga isteri kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan baru-baru ini menyumbangkan 500 buah naskah Al-Quran untuk digunakan oleh para peserta dalam majlis ini. Kita secara langsung juga menjadi sebahagian peserta untuk Majlis Khatam Perdana Negeri Sembilan yang diadakan serentak diseluruh daerah pada hari ini”.
“Penyertaan dan komitmen peserta amat baik untuk majlis khatam yang dianjurkan ini. Melalui program pengisian Ramadan seperti ini, ia bukan sahaja mendekatkan umat Islam dengan kitab suci Al-Quran, malah sebagai pendekatan baik untuk mendidik jiwa menyintai dan menghayati kalam-kalam Allah SWT yang penuh hikmah ini sebagai pedoman hidup”.
“Selain itu, apabila siapnya kompleks dua tingkat Pusat Islam USIM pada tahun hadapan yang dibina dengan kos RM 20 juta, saya merasakan pengisian aktiviti sepanjang Ramadan di dalam kampus selepas ini akan lebih meriah, berfokus dan tersusun seperti program tadarus Al-Quran, majlis berbuka puasa dan solat sunat Terawikh” ujar Pengarah Pusat Islam, Dr. Khairul Anuar Mohamad.
Selesai majlis khatam, ia diteruskan dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai bersama warga Universiti dan ahli keluarga diikuti solat Maghrib, solat Isyak, solat sunat Terawikh dan jamuan moreh sebagai penutup.
Turut sama menyertai majlis ini adalah Pengurusan Universiti antaranya Naib Canselor, Prof Dato Dr. Musa Ahmad; Prof Dato’ Dr. Hassan Basri, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) ; Prof Dr. Zulkiple Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Pendaftar, Encik Muhammad Haizuan Rozali dan lain-lain.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204