PUTRAJAYA, 29 SEPT 2015 – Bertemakan “Re-writing the narrative: Higher education for the 21st century”, Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Universiti Islam Dunia (WICULS 2015) menjadi platform menghimpunkan lebih dua ratus pemimpin tertinggi daripada universiti negara-negara Islam seluruh dunia buat kali pertama.

WICULS 2015 yang dianjurkan bersama oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pendidikan Malaysia diadakan pada 29 September dan 30 September 2015 ini di Putrajaya Marriott Hotel.

Pemimpin universiti dari Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Filipina, Sudan, Nigeria, Jordan dan lain-lain lagi akan membincangkan isu-isu utama berkaitan sistem pendidikan tinggi dalam usaha untuk membangunkan naratif pendidikan baharu bagi mendepani cabaran pengajian tinggi global.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfullah turut sudi mencemar duli bagi menyampaikan ucaptama bertajuk “Reclaiming Education in Muslim Universities for the 21th Century”.

Selain itu, WICULS 2015 menyaksikan dua belas ikon kepemimpinan terkemuka negara dan dunia berkongsi idea dan membincangkan isu dan cabaran dalam sistem pendidikan tinggi moden.

Mereka termasuk Prof. Tan Sri Dato Dzulkifli Abdul Razak, Felo Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), merangkap Presiden International Association of Universities (IAU), Ahmed Keeler, Fello Akademik di University of Cambridge, dan Prof. Ishaq Oledeye, Setiausaha Agung, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Nigeria.

Menurut Profesor Dr Roshada Hashim, pengarah Pusat Antarabangsa, USIM ‘Alamiyyah, ini merupakan masa terbaik bagi para pemimpin universiti di negara-negara Islam seluruh dunia untuk berkumpul dan berbincang mengenai landskap pendidikan tinggi dunia yang berkembang dengan cukup pesat serta memerlukan mereka untuk bertindak balas secara proaktif terhadap perubahan ini.

“Pemimpin universiti Islam pada hari ini perlu mengkaji semula halatuju dan fungsi universiti masing-masing dengan mengambil konteks keperluan pendidikan bagi umat Islam hari ini sejajar dengan pemahaman falsafah pendidikan Islam dan moden. ”

“WICULS 2015 bakal memberi penekanan kepada 3 tunggak utama iaitu kepentingan akses dan ekuiti dalam pendidikan, perkaitan budaya dan etika, dan kelestarian pendidikan bagi universiti Islam dan Ummah di seluruh dunia.

“Universiti-universiti di negara-negara Islam perlu memainkan peranan lebih dinamik dan proaktif bukan sahaja dalam penawaran pendidikan tetapi juga dalam membawa keamanan bagi masyarakat Islam dunia melalui perjanjian dan persefahaman di peringkat antarabangsa dalam usaha memberi penyelesaian yang mampan bagi menjamin kemashlahatan masyarakat Islam serantau” ujarnya.

Di akhir majlis Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfullah turut melancarkan buku-buku terbitan USIM.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204