NILAI – Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Yayasan Tun Ismail (YTI) yang ditubuhkan pada Oktober 1999 melihat USIM sebagai satu salah rakan strategik institusi pengajian tinggi yang berpotensi untuk bersama-sama menerokai bidang kewangan Islam secara lebih meluas. Kerjasama awal kedua-dua pihak telah dijalinkan melalui perjanjian MoA yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak bagi penubuhan Kursi Profesional di Universiti ini sebelum ini.

Perkembangan terkini kepada kerjasama yang telah terjalin ini adalah melalui Majlis Penyerahan Cek oleh Yayasan Tun Ismail yang diwakili oleh Encik Aziz Anuar, Naib Presiden I, Bahagian Pembangunan Pendidikan & Komunikasi Korporat PNB kepada YBhg. Profesor Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM dalam satu majlis ringkas di Canselori baru-baru ini.

Cek berjumlah RM 150,000.00 merupakan sebahagian daripada keseluruhan dana RM 300, 000.00 yang diterima USIM bagi Kursi Profesional yang diwujudkan. Dana ini akan memfokuskan kepada penganjuran beberapa siri syarahan umum yang akan disampaikan oleh tokoh akademik yang menyentuh topik dan isu-isu Kewangan Islam diperingkat tempatan dan global.

Naib Canselor menekankan “USIM sebagai intitusi pendidikan yang membawa pendekatan Islam dalam setiap program pengajianya termasuk Sains melihat bidang Kewangan Islam adalah antara bidang tujahan penting yang akan dipelopori USIM. Kerjasama dan kepercayaan yang ditawarkan oleh Yayasan Tun Ismail dan PNB secara tidak langsung akan memperkenalkan USIM secara lebih meluas kepada pemain industri Kewangan Islam.”

Sehubungan itu, peluang ini akan dimanfaatkan semaksima mungkin bagi memastikan para pelajar, pensyarah, Universiti dan masyarakat turut mendapat faedahnya. Ia juga diharapkan akan menjadi pemangkin kepada transformasi Kewangan Islam dengan menjadikan pasaran Malaysia sebagai titik mulanya.

Bagi pihak Yayasan Tun Ismail sendiri, melihat kerjasama yang dijalinkan ini juga akan membuka kepada kerjasama-kerjasama lain yang akan dilaksanakan bersama USIM pada masa akan datang.

Universiti secara dasarnya tiada halangan untuk mewujudkan peluang melanjutkan pengajian kepada pelajar Kolej Ilmu PNB untuk ke peringkat Sarjana Muda dalam bidang-bidang tertentu seperti Perakaunan, Perniagaan dan Undang-undang di USIM.

Naib Canselor melahirkan hasrat USIM bersedia menganjurkan kem khusus selama 3 bulan kepada para pelajar Kolej Ilmu PNB selepas mereka menduduki SPM bagi memberi pendedahan awal kepada dunia kehidupan kampus dan pengajian tinggi. “Selain itu, para pelajar yang layak dan menepati syarat kemasukan pula akan ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat Matrikulasi di Pusat Tamhidi USIM dalam aliran yang mereka minati ” tambahnya lagi.