NILAI, 1 Disember 2021 – Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Disember 2021 hingga 30 November 2024. Pelantikan beliau sebagai Pengerusi LPU USIM dipersetujui oleh YB Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengambil kira kepimpinan dan pengalaman luas beliau dalam bidang agama, akademik dan pentadbiran.

Dilahirkan di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu pada 16 Januari 1969, beliau mendapat Pendidikan awal di Kuala Terengganu, Terengganu dan berkelulusan ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah (1989-1993). Beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat Sarjana juga dalam bidang yang sama di Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah di Damsyik, Syria (1994-1997) dan kemudiannya memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam bidang fatwa dari Universiti Sains Malaysia (2002-2004).

Keterlibatan beliau bersama USIM bukanlah asing lagi kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang di USIM pada tahun 2006 sehingga 2008 dan juga merupakan Panel Penasihat di Fakulti yang sama sejak 2013 sehingga kini.

Berpengalaman luas sebagai seorang pemimpin dan agamawan yang dikenali dan disegani, YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri diberikan kepercayaan penuh untuk menjawat jawatan-jawatan penting dalam bidang agama antaranya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Agama) bermula 10 Mac 2020 sehingga 16 Ogos 2021, Mufti Wilayah Persekutuan (2014-2020), Majlis Penasihat Shariah Bank Negara (2016-2019), Panel Pakar Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (2013), Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan pelbagai jawatan penting lain.

Di peringkat antarabangsa, beliau merupakan anggota The Muslim Council of Elders (UAE) dan The Assembly of Muslim Jurists of America (USA).

Beliau juga merupakan pengasas kepada Pondok Moden al-‘Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan sebuah institusi hadith baru iaitu Ma’alim al-Sunan li Dirasati al-Sunnah al-Nabawiyyah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Masih aktif dalam bidang penulisan dan membentangkan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sehingga kini beliau telah menulis lebih 300 buah buku meliputi pelbagai bidang dalam Pengajian Islam. Pengalaman luas beliau dalam pengurusan dan pentadbiran institusi kefatwaan, membolehkan beliau melakarkan siri-siri kejayaan semasa menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan (2014 – 2020).

Pengurusan Universiti mengucapkan setinggi tahniah kepada YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri atas pelantikan ini dan percaya bahawa dengan kepimpinan dan pengalaman luas yang dimiliki YB Datuk akan membawa USIM terus kehadapan dalam menerajui Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berteraskan integrasi ilmu Naqli dan ilmu Aqli.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan