NILAI – Tokoh inspirasi dan Duta UNICEF Malaysia, Muhammad Zhariff Afandi, kembali ke dunia akademik apabila secara rasmi mendaftar sebagai pelajar Sarjana Sains Sosial (Master of Social Science) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Semester 1, Sesi Akademik 2025/2026.
Anak kelahiran Selangor ini pernah mencuri perhatian ramai kerana ketabahannya menempuh kehidupan tanpa kedua-dua belah tangan, namun berjaya membuktikan bahawa kekurangan bukan halangan untuk mencapai kejayaan. Zhariff, 44, yang kini merupakan Pengasas Bersama (Co-Founder) bagi Malaysia Centre for Well-Being, dan juga terlibat dengan sebuah agensi perunding berimpak sosial yang dikenali sebagai Goodwill, sebelum ini menamatkan pengajian dalam bidang Psikologi di Griffith University, Australia, serta aktif dalam kerja kemanusiaan dan advokasi sosial.
Kini beliau memilih untuk mendalami bidang psikologi dan sains sosial melalui penyelidikan bertajuk “Islamic Modality in Psychological Self Care” di bawah bimbingan Dr. Nurhafizah Mohd Sukor dan Dr. Dini Farhana Baharudin. Langkah ini selaras dengan aspirasi USIM untuk melahirkan sarjana berteraskan integrasi ilmu naqli dan aqli demi kesejahteraan sejagat.
Sebagai pengasas The Zhariff Initiative (TZI), beliau giat membangunkan potensi belia melalui program latihan dan kepimpinan sosial. Zhariff juga dikenali melalui siri jelajah motivasi “Breaking the Barrier”, yang memberi inspirasi kepada anak muda agar tidak tunduk kepada kekangan fizikal mahupun mental, sebaliknya memanfaatkan potensi diri untuk menyumbang kepada masyarakat.
Atas dedikasi dan sumbangan besar beliau, Zhariff telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Belia Negara (Sosial dan Komuniti) pada tahun 2006, Anugerah Belia Perdana (Pencapaian Luar Biasa) pada 2011, serta Griffith Health Outstanding International Alumnus Award (2020).
“Pembelajaran tidak dibataskan oleh umur, tetapi diteruskan selagi ada semangat, keyakinan dan kesungguhan,” ujar Zhariff.
“Cara paling cepat untuk memperoleh keyakinan diri adalah dengan tidak takut untuk mencuba,” tambahnya lagi.
Kehadiran beliau di USIM bukan sahaja menginspirasikan warga kampus, malah memperkukuh usaha universiti dalam memperluas horizon ilmu berteraskan nilai kemanusiaan, spiritual dan kesejahteraan sejagat.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani