KUANTAN, 19 Januari 2020 – Program Kemahiran Insaniah Pendidik atau singkatannya KIP yang diadakan khusus untuk mahasiswa Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) (DPPPI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mampu memupuk kemahiran jati diri peserta.

Program selama 3 hari 2 malam di Campstay Sungai Lembing, Kuantan Pahang ini adalah usaha pihak universiti untuk memberi keyakinan kepada mahasiswa seramai 42 orang melalui aktiviti kembara rimba, keyakinan dalam air dan persembahan malam kebudayaan.

Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Prof Madya Dr Nurkhamimi bin Zainuddin berkata program ini adalah satu bentuk saluran yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan kemahiran serta jati diri mereka apabila tamat pengajian serta boleh diamalkan apabila menjadi pendidik suatu hari nanti.

“Saya berharap hubungan ini tidak berakhir di sini dan sebaiknya apabila anda balik dan pergi berkhidmat ke mana-mana sekolah nanti, bawalah semula anak-anak didik itu kembali semula ke USIM untuk berbakti. Itu yang kita mahukan kerana alam universiti ini perlu menerapkan ilmu sebagai pendidik bagi memupuk minat dan motivasi dalam diri mereka supaya mereka ada haluan yang perlu dituju untuk masa hadapan mereka nanti,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Program hasil kerjasama USIM dan USIM Tijarah Holdings SDN BHD ini membawa tema guru futuristik yang membawa maksud guru yang mempunyai wawasan jauh ke hadapan serta mempunyai semangat perpaduan sebagai salah satu fungsi guru disekolah iaitu menjadi ejen penyatuan murid tanpa mengira bangsa dan agama.

Turut hadir adalah Penyelaras Program DPPPI USIM Kohort 2 Puan Maziahtusima binti Ishak. Beliau berkata ia secara tidak langsung dapat mencungkil bakat para bakal pendidik kerana sebagai guru juga perlulah kreatif dan serba boleh dalam sesuatu perkara untuk memberi inspirasi kepada pelajar.





Disediakan oleh:
Qurratu’aini binti Abd Wahab
Mahasiswa DPPPI Kohort 2

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan