PENAMPANG – Tampil dengan persembahan istimewa dengan membawa identiti tersendiri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengharumkan  zon Selatan apabila dinobatkan sebagai Johan peringkat Kebangsaan Battle of Buskers Kepenggunaan dengan memvbawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 5,000.00 berserta sijil. Program berlangsung di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang Sabah pada 13 Julai 2025 baru-baru ini.

USIM mempersembahkan dua lagu yang menggamit perhatian juri dan penonton dengan lagu pertama yang dicipta khas mengikut tema kepenggunaan berjudul Semarak Konsumerisme. Merupakan sebuah lagu ciptaan baharu bersempena dengan sambutan Hari Kepenggunaan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Lagu Semarak Konsumerisme membawa mesej tentang kepentingan menjadi pengguna bijak dalam kehidupan seharian. Ia menekankan amalan pengguna dalam membuat keputusan rasional berdasarkan keperluan, bukannya kehendak. Dengan susunan lirik yang mudah difahami, pengguna diingatkan perlu berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan anasir penipuan yang kian berleluasa. Lagu ini turut menyemarakkan semangat kepenggunaan beretika demi memacu kesejahteraan ekonomi negara. Melalui susunan muzik yang bertenaga dan lirik yang mendidik, lagu ini mengajak semua untuk menjadikan amalan pengguna berhemah sebagai budaya hidup yang lestari.

Sementara itu, lagu kedua merupakan lagu pilihan bertajuk Satu, nyanyian asal Dato’ SM Salim dan Datuk Zainal Abidin yang dipersembahkan dengan penuh penghayatan dan diberi sentuhan baharu agar lebih segar dan relevan dengan cita rasa generasi kini. Persembahan ini turut membawa mesej kebersamaan dan lonjakan semangat perpaduan dan kebersamaan yang selari dengan aspirasi masyarakat hari ini.

Pertandingan ini merupakan sebahagian acara daripada Festival Pengguna KPDN 2025 (ConFest’25).  Program tahunan KPDN ini diadakan bertujuan untuk mendidik, menyebar luas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan masyarakat melalui pendekatan baharu yang bersepadu. ConFEST’25 menghimpunkan penyertaan dari lima zon iaitu, Zon Selatan, Zon Tengah, Zon Utara, Zon Timur dan Zon Borneo. USIM menyertai pertandingan ini menerusi kumpulan Tingkah Irama, yang terdiri daripada lapan orang ahli dan mewakili Zon Selatan dalam persaingan sengit bersama empat lagi kumpulan dari zon lain.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM Mohd Salehudin Sukor, “Pengorbanan dan kegigihan mereka dalam waktu yang singkat akhirnya membuahkan hasil. Kejayaan yang diraih hasil komitmen tinggi semua ahli kumpulan dan semua yang terlibat. Ini membuktikan bahawa mesej kepenggunaan mampu disampaikan secara kreatif melalui medium seni dan budaya.”

Mengulas lanjut ketua kumpulan Tingkah Irama, Kelab Perngurusan dan Persembahan Seni USIM saudara Mohamed Syamil Mohamed Fuad tahun 3, meluahkan rasa syukur dan terharu. “Apabila diumumkan sebagai johan di peringkat kebangsaan, perasaan kami bercampur baur, terharu, bersyukur dan amat gembira. Ia merupakan kejayaan yang tidak datang dengan mudah, tetapi hasil daripada kerjasama erat, usaha yang konsisten, serta sokongan berterusan daripada pihak Pusat Kebudayaan USIM khususnya staf yang banyak membantu kami.”

Naib Johan Battle of the Buskers dimenangi oleh Zon Tengah yang diwakili oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3000.00, manakala tempat ketiga menjadi milik Politeknik Betong mewakili Zon Borneo dengan hadiah RM2,000.00. Sementara itu, bagi Anugerah Lirik dan Vokal Terbaik dimenangi UPSI dengan hadiah wang tunai RM500.00 setiap satu. Kesemua pemenang turut menerima hadiah piala iringan, sijil penghargaan dan cek cura daripada penganjur.

Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Yang Berhormat Datuk Armizan Mohd Ali dengan diiringi oleh Pengarah KPDN negeri. Hampir 1,500 pengunjung termasuk peserta hadir memenuhi memenuhi dewan IITC untuk menyaksikan acara gilang gemilang ConFEST’25 yang membawa mesej kepenggunaan dan nilai kesedaran dalam kehidupan.

Oleh: Rozihani Mohamad