NILAI, 16 Januari 2023 – Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin bin Md Shaarani, Naib Canselor mendahului senarai lapan kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menerima Darjah Kebesaran Negeri Sembilan yang membawa gelaran Dato’ bersempena Hari Keputeraan Tuanku Muhriz yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti Kuala Pilah pada 14 Januari 2023.

Tujuh penerima lain dari USIM adalah, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow Profesor Madya, dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang menerima Darjah Pekerti Terpilih (D.P.T), Prof. Madya Dr. Nurlida Basir Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi menerima Darjah Pekerti Terpilih (D.P.T) Encik Mohd Salehudin Sukor Pengarah Pusat Perumahan Pelajar menerima Ahli Setia Negeri Sembilan (A.N.S), Encik Muin Yahaya Penolong Pendaftar Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan menerima Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (P.M.C), Encik Mohd Saifullah Zulkapli Penolong Pendaftar di Jabatan Canselori menerima Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (P.M.C), Tc. Encik Yusri Shamsudin Penolong Arkitek Landskap di Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dan akhir sekali Puan Azreen Filzah Ahmad Azizan Pembantu Akauntan Kanan di Jabatan Bendahari menerima Pingat Khidmat Lama (P.K.L).

Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin bin Md Shaarani mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (2), Johor Bahru dan Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang.  Beliau menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Makanan dengan Pengurusan Perniagaan.  Kemudian beliau menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di University of Reading dan Doktor Falsafah di University of Cambridge.

Memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Kawalan Kualiti di Britannia Brands (Malaysia) Sdn Bhd. Pada tahun 1996, beliau menyertai bidang akademik di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan merupakan antara staf perintis di universiti tersebut. Beliau berkhidmat untuk tempoh 24 tahun sebelum berpindah ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2020.

Sebagai seorang cendekiawan yang berpengalaman luas dalam pentadbiran, beliau memegang pelbagai peranan penting dalam bidang penyelidikan makanan Halal sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dan pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi USIM. Beliau juga merupakan auditor Halal Muis Halal Hub (Negeri Sabah) dan juga merupakan salah seorang tenaga pengajar Halal eksekutif yang diktiraf oleh JAKIM.

Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai ahli jawatankuasa Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (Higher Center Of Excellence, HiCOE) dan Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Projek Pensijilan Halal UMS-Heilongjiang Academy of Science (HAS) China, Profesor pelawat dan juga panel penilai untuk Malaysia Qualification Agency (MQA) dan Malaysia Board of Technologist (MBOT) serta panel untuk kenaikan pangkat kepada Profesor dan Profesor Madya oleh beberapa buah universiti di Malaysia.

Seramai 540 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-75 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan