NILAI – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dengan kerjasama Nadi Thaqafah dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), telah menganjurkan program ilmiah bertajuk Turathiyyah Kubra: Bacaan Turath, Kajian Analisis & Kritikal yang berlangsung di Dewan Utama FPBU pada 14 Jun 2025 bar-baru ini.

Objektif utama program ini adalah untuk menyemarakkan budaya keilmuan dan memperkukuh kefahaman mendalam terhadap warisan ilmu Islam berasaskan kitab-kitab turath. Program ini merupakan antara pengisian utama dalam Siswa SoulFest @ USIM, sebuah inisiatif besar anjuran MPP USIM dengan sokongan pelbagai agensi dan kelab pelajar termasuk Pusat Islam USIM serta pertubuhan pelajar lain.

Tiga ilmuwan dari Unit Kajian Ilmiah Turath (U-KIT) telah diundang bagi menyampaikan pengajian dan analisis terhadap beberapa karya agung dalam tradisi keilmuan Islam. Antara kitab yang dikupas ialah Matan Umm al-Barahin, Mughni al-Muhtaj, dan Matan al-Ajurumiyyah.

Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama,Prof. Dr. Zainur Rijal Abdul Razak dalam ucapan perasmiannya menegaskan kepentingan untuk terus memelihara dan mendalami warisan turath. B

Beliau berkata lagi, “Kita tidak boleh meninggalkan aspek turath. Justeru, kita perlu membaca, menyemak, menggali dan menganalisis karya para ulama kerana ia berpotensi meningkatkan kerohanian dan membentuk pemahaman yang benar terhadap agama.”

Sementara itu, Ustaz Muhammad Farid Wajdi, Penolong Pendaftar U-KIT menekankan bahawa pengajian kitab turath menuntut pendekatan yang teliti dan tidak bersifat literal semata-mata. “Membaca kitab turath tidak boleh dilakukan secara literal. Penguasaan asas bahasa Arab seperti nahu dan soraf adalah kunci utama bagi memahami teks dengan tepat, selain menjadi wasilah penting untuk mendalami al-Quran dan Hadis,” jelas beliau.

Program ini bukan sahaja menumpukan kepada pembacaan semata-mata, bahkan turut memberi penekanan terhadap pendekatan analitik dan kritikal agar mahasiswa mampu menilai kesesuaian dan nilai ilmu klasik dalam konteks semasa.

Secara keseluruhan, Turathiyyah Kubra diyakini mampu menyuntik semangat cintakan ilmu dalam kalangan mahasiswa, sekali gus memperkukuh jati diri mereka sebagai pewaris tradisi keilmuan Islam yang unggul.

 

Oleh: Aishah Mohd Yaziz