NILAI – Sebagai langkah proaktif dalam memupuk kesedaran holistik tentang kepentingan keselamatan siber dan memperkukuh ilmu melalui gabungan elemen Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, dan Mathematics (STREAM) dalam kalangan generasi baharu, satu inisiatif pemerkasaan pemindahan ilmu telah diadakan pada 11 Jun 2025 bersempena Karnival EXPLORESTREAM 4.0 yang berlangsung dengan meriahnya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertempat di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).
Seramai 45 orang mahasiswa tahun 2 Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) turut mengambil peluang untuk menjalankan program SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) sebagai usaha memperkukuh jalinan ilmu dengan komuniti, terutamanya murid sekolah dari pelbagai sekolah sekitar Nilai, Seremban dan Putrajaya.
Antara aktiviti utama yang dikendalikan oleh pelajar Sains Komputer adalah aktiviti sesi perkongsian interaktif berkaitan keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI). Sesi libatsama masyarakat ini memberi pendedahan teori didikhibur (edutainment), malah dapat membantu pelajar lebih faham tentang aplikasi teknologi dan kecerdasan buatan.
Lebih menarik, penasihat Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay dan juga merupakan ketua projek inovasi pendidikan ini memperkenalkan papan permainan berasaskan konsep keselamatan siber. Ia adalah satu pendekatan kreatif dan mesra remaja untuk mendidik para pelajar sekolah tentang ancaman digital seperti phishing, perisian hasad dengki, dan kepentingan kata laluan yang selamat. Melalui permainan ini, pelajar bukan sahaja belajar, tetapi juga berinteraksi dan berfikir secara kritis mengenai cabaran keselamatan di alam maya.
Selain itu, pelbagai acara turut diadakan sepanjang karnival seperti Explore Race, pertandingan minyak masak terpakai, kuiz interaktif, demonstrasi teknologi, dan juga ceramah ilmu. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah menanamkan nilai-nilai murni seperti tanggungjawab sosial, pemeliharaan alam sekitar, dan celik digital.
“AI-Cyber Hasanat: Perisai Tinta Digital” bukan sekadar slogan – ia menggambarkan pendekatan holistik dalam mendidik masyarakat agar celik siber dengan berpaksikan nilai-nilai murni dan etika Islam. Tinta merujuk kepada pena tetapi kini perubahan arus menyebabkan kebanyakan dari kita menulis dengan menggunakan teknologi digital melalui papan kekunci. Melalui gabungan ilmu teknologi dan rohani, diharap generasi muda akan lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital agar tinta digital beretika dan berintegriti.