RANAU – Program Dakwah Lapangan USIM-ABIM di Sabah (Muallim 3) 2025 melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutupan yang berlangsung di Rumah Putera Harapan (RPH), Ranau. Lebih 150 peserta dari pelbagai latar belakang hadir bagi meraikan kejayaan program yang menyatukan usaha pelbagai pihak dalam menyantuni masyarakat pedalaman serta memperkukuh agenda dakwah berasaskan nilai kasih sayang dan keterangkuman.
Program ini dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah dengan kerjasama Rumah Putera Harapan (RPH) Ranau, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Negeri Sabah serta ABIM Ranau. Ia bukan sahaja menghargai sumbangan semua pihak yang terlibat, tetapi turut menjadi platform untuk peserta dan komuniti setempat berkongsi pengalaman serta menilai impak positif program.
Menariknya, sepuluh orang mahasiswa Program Dakwah dan Pengurusan Islam, FKP USIM turut terlibat secara aktif dalam program ini sebagai sebahagian daripada latihan industri mereka bersama ABIM di Sabah. Sepanjang tempoh penempatan di Ranau, mereka berpeluang menyelami realiti kehidupan masyarakat pedalaman, menyampaikan mesej dakwah secara hikmah, dan menjalankan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan dan khidmat sosial.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa dakwah tidak hanya terbatas kepada penyampaian lisan, tetapi turut merangkumi aspek pendidikan, kebajikan serta pembinaan jiwa dan komuniti.
“Penglibatan mahasiswa USIM bersama ABIM dalam program seperti ini memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pembelajaran mereka. Ia membentuk insan holistik yang berteraskan prinsip Rahmatan lil ‘Alamin dan nilai Ihsan, sekali gus mendidik mahasiswa supaya menyantuni masyarakat pelbagai latar belakang, termasuk komuniti pedalaman,” katanya.
Beliau turut menggalakkan agar program berbentuk khidmat komuniti seperti ini diteruskan kerana memberi impak yang besar bukan sahaja kepada masyarakat, malah turut memperkukuh sahsiah dan kemahiran sosial para mahasiswa.
Menurut Pengarah Program, Nur Aimi Farhana Nasrudin yang juga merupakan pelajar latihan industri USIM-ABIM, program ini menjadi medan terbaik untuk mahasiswa mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar, di samping menyemai semangat kesukarelawanan dan dakwah secara inklusif.
Sepanjang tempoh empat bulan latihan industri di Ranau, para mahasiswa terlibat secara aktif dalam pelbagai program yang dirangka bagi memenuhi keperluan rohani, akademik dan sosial komuniti setempat. Antara pengisian utama termasuklah kelas akademik bersama pelajar Rumah Putera Harapan Ranau yang diadakan setiap hari Isnin hingga Jumaat, kelas agama dan mengaji secara harian, serta tiga siri Kursus Pengurusan Jenazah. Para mahasiswa turut menggerakkan program Qiamullail pada hujung minggu, dua siri Sukan Rakyat, dan Akademi Belia Islam Ranau yang memberi penekanan kepada tahsin solat. Selain itu, mereka juga menyumbang tenaga dalam pelaksanaan beberapa program anjuran ABIM Sabah seperti Ihya’ Ramadhan, Forum Wanita Madani, Forum Ekonomi Belia dan Forum Uswatun Hasanah yang menyentuh isu-isu kontemporari dari sudut pandang Islam.
“Program ini bukan sahaja menguji kemampuan peserta dalam mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari, malah ia turut membuka ruang interaksi secara langsung dengan komuniti yang memerlukan pendekatan dakwah yang mesra dan berhemah,” ujar beliau.
Majlis ini juga menjadi titik penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara penduduk kampung, institusi dakwah, NGO, agensi kerajaan serta komuniti Islam tempatan dalam memperkasa pembangunan rohani dan sosial umat Islam di Sabah.
Secara keseluruhannya, Program Dakwah Lapangan USIM-ABIM di Sabah (Muallim 3) 2025 membuktikan iltizam generasi muda dalam menyebarkan mesej Islam yang penuh hikmah dan kasih sayang, sekali gus mendekatkan institusi pendidikan dengan denyut nadi masyarakat.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi bin Che Mohd Zaini