SEMENYIH- Seramai 24 mahasiswa Kursus Agrosis dan Usahawan Tani dari Kumpulan 1 di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Universiti Sains Islam Malaysia telah berjaya melaksanakan program komuniti “Charity For Sunshine USIM 2025” di Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih Selangor yang telah diadakan pada 11 Jun 2025 baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama 4 jam ini turut disertai oleh seorang penasihat program dan beberapa orang kakitangan pusat jagaan, serta mendapat sambutan yang hangat daripada warga emas yang menetap di sana. Objektif utama program ini adalah untuk memberi ruang kepada pelajar mempraktikkan ilmu teori dan praktikal berkaitan pertanian yang telah dipelajari, selain menyemai nilai kemasyarakatan dan keprihatinan terhadap golongan warga emas.

Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuklah aktiviti penanaman anak pokok sebagai inisiatif penghijauan,  sesi gotong-royong membersihkan kawasan pusat jagaan, aktiviti permainan dan mewarna serta sesi nyanyian bersama warga emas Al-Fattah dan penyampaian cenderahati.

Menariknya, peserta turut mengambil inisiatif memperkenalkan teknik pertanian asas kepada penghuni dan kakitangan pusat jagaan sebagai salah satu usaha jangka panjang untuk membudayakan pertanian mesra komuniti. Beberapa anak pokok dan bahan tanaman telah disumbangkan dan ditanam sebagai simbolik kepada aktiviti kebun komuniti mini bagi program ini.

Selain itu, para peserta turut diberikan pendedahan melalui sesi perkongsian bersama kakitangan Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah. Dalam sesi ini, mereka berkongsi pelbagai kisah dan pengalaman berkaitan kehidupan warga emas yang telah ditinggalkan oleh ahli keluarga.Perkongsian ini bukan sahaja membuka mata para pelajar terhadap realiti yang dihadapi oleh golongan warga emas, malah turut menyemai nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam diri setiap individu.

Sebagai tanda sokongan dan keprihatinan, pelajar turut menyampaikan sumbangan kewangam kepada pihak pusat jagaan. Penasihat program, Cik Siti Noridayu binti Abd. Nasir turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pihak pengurusan Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah atas kerjasama yang baik sepanjang program ini berlangsung .

Menurut wakil pelajar, Muhammad Idham bin Zulkipli program ini bukan sahaja menguji kemahiran praktikal tetapi juga mendidik pelajar untuk lebih peka terhadap isu-isu sosial dan keperluan komuniti setempat dalam bidang pertanian.

“Ia merupakan pengalaman yang sangat bermakna bagi kami semua, kerana selain belajar tentang penanaman kami juga dapat belajar untuk menjadi insan yang lebih empati dan prihatin,” katanya semasa program berlangsung di Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah.

Program “Charity for Sunshine” melabuhkan tirainya dengan sesi nyanyian bersama yang menyentuh jiwa antara para peserta dan warga emas. Suasana penuh emosi ini bukan sahaja merakamkan kenangan manis, malah mengukir ikatan kasih sayang yang tulus dan membekas di hati semua yang terlibat. Momen kebersamaan ini menggambarkan betapa nilai-nilai kemanusiaan, empati, dan ihsan dapat dipupuk melalui pengalaman sebenar di luar bilik kuliah. Justeru, program seperti ini diharap dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang.

Melalui penganjuran program seumpama ini, USIM kekal teguh dalam komitmennya untuk melahirkan graduan yang holistik, bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, tetapi juga memiliki kemahiran insaniah yang tinggi selari dengan misi universiti sebagai peneraju integrasi ilmu Naqli dan Aqli, demi membentuk generasi pemimpin berjiwa seimbang, bertanggungjawab, dan peduli terhadap kesejahteraan ummah.

 

Oleh: Nor Farhana Humairah Nordin