NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju ilmu halal dan fatwa negara menerusi penganjuran Seminar Halal dan Fatwa (SEHALWA) 2025, yang turut menyaksikan pelancaran buku ilmiah berwibawa terbitan Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), USIM di Nilai Springs Resort, hari ini.

Bertemakan “Isu-isu Semasa Pensijilan Halal di Malaysia”, seminar ini menghimpunkan lebih 160 peserta terdiri daripada ahli akademik, agensi penguat kuasa, penggubal dasar, industri dan mahasiswa bagi membincangkan cabaran serta masa depan pensijilan halal negara.

Antara sorotan utama adalah pelancaran buku bertajuk “Makanan dan Minuman Berdasarkan al-Quran, Hadis dan Fatwa” yang menggabungkan sumber wahyu, pandangan ulama dan realiti kontemporari dalam bidang pemakanan halal. Buku ini dijangka menjadi rujukan penting dalam penggubalan dasar dan pendidikan halal negara.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, menegaskan kepentingan SEHALWA sebagai wahana strategik untuk membina ekosistem halal yang bersepadu dan diyakini.

“Program SEHALWA ini bukan sekadar medan perkongsian ilmu, tetapi sebahagian daripada strategi besar USIM untuk memperkukuh kedudukan dalam bidang Halal dan Fatwa. Ia juga merupakan langkah konkrit ke arah pencapaian status Higher Centre of Excellence (HiCoE) bagi IFFAH, seiring aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Menangani Cabaran Globalisasi dalam Pensijilan Halal”. Beliau memuji peranan IFFAH sebagai jambatan antara akademia, industri dan pembuat dasar, dan menyifatkan program seperti SEHALWA sebagai medan penting dalam membina sistem halal negara yang mampan.

“Halal bukan hanya urusan syariah, ia kini adalah isu ekonomi global, politik perdagangan, keselamatan makanan, dan lebih penting lagi – keyakinan umat. Fatwa memainkan peranan besar sebagai panduan hukum yang memberi makna kepada pensijilan halal,” tegas beliau.

Seminar ini turut menampilkan pembentangan kertas kerja yang menyentuh isu-isu kritikal seperti Logo Halal Tetapi Haram, Kepelbagaian Standard Halal Antara Negara dan Isu Pematuhan serta Penguatkuasaan. Segmen kemuncaknya adalah forum intelektual yang merungkai masa depan pematuhan halal dari pelbagai perspektif.

Penganjuran SEHALWA 2025 serta pelancaran buku ilmiah ini membuktikan iltizam USIM dalam menjana ilmu berimpak tinggi, memperkasa institusi penyelidikan dan menyumbang kepada ekosistem halal negara secara menyeluruh, selari dengan peranannya sebagai universiti rujukan dalam bidang ini.