NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Mahasiswa Negara@IPT peringkat USIM baru-baru ini melibatkan seramai 109 orang pelajar Tahun Pertama Sarjana Muda sebagai peserta utama. Berlangsung selama dua hari bermula 30 hingga 31 Julai 2025 lalu, ia diterajui oleh Majlis Pengetua USIM dengan kerjasama Pusat Perumahan Pelajar, Pusat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Islam dan Pusat Wakaf dan Zakat USIM.
Program Mahasiswa Negara merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) untuk melahirkan mahasiswa yang berjiwa patriotik, memahami asas kenegaraan dan menghayati prinsip Malaysia MADANI. Kursus ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sejarah tanah air, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta aspirasi Malaysia MADANI dalam pembangunan negara.
Selain itu, program ini juga bertujuan menyokong pelaksanaan Program Mahasiswa Negara di institusi pendidikan tinggi dengan memberikan pendedahan awal kepada pelajar Tahun 1 mengenai kenegaraan dan pembinaan negara bangsa. Pelaksanaan program ini diharap dapat mewujudkan rasa tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia dalam kalangan mahasiswa USIM serta memastikan mereka memahami dan menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI sebagai tunjang pembentukan sahsiah diri dan kepimpinan pada masa hadapan.
“Sebagai mahasiswa USIM, anda bukan sahaja penuntut ilmu, malah anda adalah pewaris masa depan negara. Maka, memiliki jati diri yang kukuh serta rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air dan institusi tempat anda menimba ilmu adalah satu keperluan, bukan pilihan,” ujar Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr Mushaddad Hasbullah ketika berucap merasmikan program ini.
Tambahnya lagi “Program ini bukan sekadar satu aktiviti pelajar biasa. Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan universiti dan KPT dalam menyediakan bakat terbaik negara melalui pemerkasaan mahasiswa di seluruh universiti awam dalam negara seperti yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi dalam amanatnya”.
“Program ini juga dilihat mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga punya jati diri, semangat kebangsaan dan nilai kepimpinan yang utuh”.
Melalui pelaksanaan program ini, pengetua dan felo penghuni kolej kediaman universiti dan luar kampus bertindak sebagai fasilitator utama. Para peserta dilibatkan secara aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang program, termasuk Bicara Malaysia MADANI oleh Akademik Kenegaraan Malaysia; sesi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), sesi interaktif berkumpulan dan pemantapan kerohanian.
Dengan pelaksanaan program seumpama ini, universiti berharap ia dapat menyemai nilai tanggungjawab sebagai warganegara yang berintegriti dan berdaya saing dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan matlamat USIM untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berjiwa kepimpinan dan nasionalisme yang tinggi selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
Oleh: Zaini Othman