NILAI – Persidangan Antarabangsa ke-2 ASEAN School of Business Network (ASBN) 2025 telah menghimpunkan lebih 120 perwakilan dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Bangladesh, Nigeria, Palestin dan Timur Tengah. Berlangsung pada 7 dan 8 Ogos 2025, persidangan ini mengukuhkan komitmen ASBN dalam memperluas kerjasama antarabangsa secara inklusif dan lestari.
Kemuncak persidangan adalah Majlis Malam Gala bertempat di Rajah Brooke Ballroom, Nilai Springs Resort Hotel diserikan dengan ucaptama disampaikan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, bertajuk “ASEAN at a Crossroads: Navigating Disruption with Unity and Innovation.”
Beliau menggariskan tiga tonggak strategik USIM, iaitu (Bakat) dengan melahirkan pemimpin berasaskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, selaras dengan Maqasid al-Shariah serta ESG. Seterusnya (Teknologi) iaitu membangunkan inovasi AI, blockchain dan fintech Islamik yang beretika serta inklusif. Akhir sekali (Transformasi) iaitu menggerakkan perkongsian penta-helix (kerajaan, akademik, industri, masyarakat dan media) untuk perubahan bermakna.
Majlis turut menyaksikan pertukaran MoU antara USIM dan KOOP Sahabat, serta USIM dengan Eastern Visayas State University (EVSU), Filipina. Penyerahan mock cek Zakat Wakalah oleh KOOP Sahabat kepada USIM menjadi sorotan penting, di mana USIM diberi mandat mengurus serta menyalurkan dana zakat kepada pelajar asnaf dan komuniti sekitar kampus.
Mengikuti pertemuan sulung di Jogjakarta tahun lalu, persidangan kali ini meneruskan peranan sebagai platform penting industri–akademia. Tema “Transforming ASEAN: Inclusive and Sustainable Futures Through AI and Digital Innovation” dipilih seiring aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang menekankan inklusiviti dan kelestarian.
Kerjasama strategik USIM, KOOP Sahabat dan EVSU membuka ruang baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi global. Dengan integrasi AI serta penyelarasan dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), usaha ini dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia dan ASEAN di peringkat antarabangsa.
Dua masterclass turut dianjurkan: “AI & Research Innovation: AI Frontier” oleh Dr. Muhammad Noorizzuddin Nooh, dan “Power BI” oleh Dr. Siti Raihana Hamzah. Bengkel ini menekankan kolaborasi akademia–industri untuk memperkasa inovasi digital.
Persidangan ini menjadi pentas menilai hala tuju ASBN dalam pembangunan perniagaan mampan dan berimpak tinggi. Ia memperkukuh jaringan strategik rentas sektor serta memastikan ASBN kekal relevan sebagai pusat rujukan pembangunan ekonomi serantau.
ASEAN School of Business Network (ASBN) ialah rangkaian kolaboratif akademia–industri di rantau ASEAN yang berfungsi sebagai platform bersama untuk penyelidikan, pembangunan bakat dan penyelesaian inovatif demi masa depan ekonomi yang lebih inklusif dan lestari.