NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Koperasi Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia Berhad (KOOP USIM) dalam satu majlis yang berlangsung di Eksekutif Lounge Canselori USIM pada 20 April 2026 baru-baru ini.

Perjanjian berkenaan menandakan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuh pelaksanaan program latihan berkualiti tinggi yang memfokuskan kepada aspek kesejahteraan dan pembangunan insan secara holistik.

Kerjasama tersebut akan berkuat kuasa sehingga tahun 2028 dan akan dilaksanakan menerusi Sa’adah Counseling and Consultation Centre for Wellbeing di bawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), yang berperanan dalam penyediaan modul serta pelaksanaan latihan.

Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, perjanjian yang dimeterai itu bukan sekadar satu bentuk persefahaman antara dua institusi, malah merupakan satu komitmen besar dalam usaha memperkasa pembangunan insan secara menyeluruh.

Beliau berkata, dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, aspek kesejahteraan diri tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara sampingan, sebaliknya perlu diberi perhatian serius dalam pembentukan individu yang seimbang dari sudut emosi, mental dan spiritual.

“Melalui kerjasama ini, program-program latihan yang dirancang bukan sahaja bertujuan meningkatkan kompetensi dan profesionalisme, tetapi juga membina jati diri, memupuk keseimbangan dalam kehidupan serta memperkasakan potensi insan agar mampu menyumbang secara lebih bermakna kepada organisasi dan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, sinergi antara USIM melalui kepakaran akademik, penyelidikan dan pembangunan modul dengan KOOP USIM menerusi keupayaan pengurusan serta sokongan operasi diyakini mampu memperluas manfaat program kepada lebih ramai pihak.

“Dengan sinergi ini, kita bukan sahaja melaksanakan program latihan, tetapi sedang membina satu ekosistem pembangunan insan yang mampan, inklusif dan bernilai tinggi. Saya percaya pendekatan kolaboratif seperti ini akan membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi demi kesejahteraan warga universiti dan masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama berteraskan nilai kebajikan dan ketakwaan itu selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 2 yang menyeru umat Islam agar saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan.

Majlis tersebut turut menjadi manifestasi hubungan erat antara USIM dan KOOP USIM dalam menjayakan agenda pembangunan modal insan yang lebih terancang, relevan dan berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang profesional, tetapi juga memiliki kesejahteraan diri yang kukuh.

Pemeteraian perjanjian ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program pembangunan yang dapat memberi manfaat berterusan kepada warga universiti serta masyarakat secara keseluruhannya.