LABU – Seramai 70 orang penunggang motosikal menyertai Program Konvoi Motosikal ke Kampung Orang Asli Tekir, Batu 10 Labu, pada 3 September 2025 anjuran Kesatuan Kakitangan Sokongan Universiti Sains Islam Malaysia (KUSIMA) sempena sambutan ulang tahun 25 Tahun USIM.
Majlis pelepasan konvoi ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM Prof Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani. Konvoi ini membawa simbolik perjalanan 25 tahun universiti yang bukan sahaja berkembang dalam bidang akademik, malah turut menzahirkan komitmen menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Seiring dengan semangat tanggungjawab sosial universiti (USR), program ini turut disertakan dengan beberapa aktiviti kemasyarakatan iaitu pembaikan surau dan mengecat rumah penduduk, pembersihan kawasan setempat, aktiviti STEM bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Tekir serta lawatan tapak Projek madu kelulut Uni@Madani.
Menurut Presiden KUSIMA, Mohd Jamil Ahmad Mokhtor yang mengetuai program ini berkata, ia bukan sekadar untuk berkonvoi bersama, tetapi untuk meraikan 25 tahun perjalanan penuh semangat persaudaraan dan kecintaan terhadap USIM. Program ini memberi makna tersendiri kerana selain meraikan ulang tahun ke-25 universiti, ia juga dapat memperkukuh hubungan silaturrahim antara USIM dan masyarakat Orang Asli Tekir.
Kampung Orang Asli Tekir ini dipilih bersempena Program Santuni MADANI yang merupakan inisiatif kerajaan Malaysia bertujuan memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat melalui pendekatan yang inklusif, strategik dan berfokuskan komuniti. Ia dilaksanakan di bawah konsep Satu Pemimpin, Satu Kampung, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masyarakat yang sejahtera dan berdaya tahan.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama KUSIMA dan PLiMJI ini diharap dapat menzahirkan semangat kebersamaan warga USIM dalam menjayakan pelbagai aktiviti bermakna demi manfaat masyarakat.
Program dengan kerjasama Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri USIM ini diharapkan dapat menzahirkan semangat kebersamaan warga USIM dalam menjayakan aktiviti bermakna demi manfaat masyarakat, khususnya komuniti Orang Asli.