NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat sejarah apabila muncul sebagai universiti awam pertama dilantik sebagai rakan strategik bagi penganjuran International Publishers Congress (IPC) 2026.
Sebagai rakan strategik, USIM akan memainkan peranan penting termasuk mengendalikan penstriman rasmi (official streaming) IPC 2026 selain menyediakan fasiliti dan pengurusan bagi penceramah antarabangsa sepanjang kongres berlangsung.
IPC 2026 dijangka menghimpunkan lebih 500 peserta dari lebih 60 negara, sekali gus membuka ruang luas kepada perkongsian ilmu, jaringan profesional dan peluang kolaborasi dalam bidang penerbitan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik menegaskan bahawa penglibatan USIM dalam IPC 2026 bukan sekadar soal reputasi, tetapi peluang strategik untuk menonjolkan kekuatan universiti dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
“Kongres ini adalah platform penting untuk meningkatkan keterlihatan penerbitan ilmiah Malaysia, khususnya Penerbit USIM di peringkat global. Ia juga membuka ruang kepada jaringan industri, pameran karya akademik, serta peluang membincangkan isu-isu semasa seperti penerbitan digital, akses terbuka dan peranan AI dalam kelestarian industri buku. Dengan kerjasama ini, USIM mampu menampilkan keunikan pendekatan integrasi Naqli-Aqli kepada komuniti penerbit dunia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penerbit USIM, Puan Hariza Mohd Yusof, turut menegaskan bahawa pelantikan ini merupakan penghormatan besar buat USIM untuk menyumbang kepakaran dalam menjayakan IPC 2026.
“Kami komited menyediakan fasiliti terbaik termasuk sokongan teknikal dan pengurusan penceramah luar negara, agar kongres ini berlangsung dengan lancar dan memberi impak signifikan kepada dunia penerbitan,” ujarnya.
Pelantikan ini dimeterai melalui majlis menandatangani Letter of Intent (LoI) antara Malaysian Book Publishers Association (MABOPA) selaku penganjur utama dan USIM di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM, hari ini.
LoI tersebut ditandatangani oleh Presiden MABOPA, Sheikh Faisal Sheikh Mansor, manakala USIM diwakili oleh Pengarah Penerbit USIM, Puan Hariza Mohd Yusof, disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor serta Timbalan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Puan Siti Amiza Abdul Aziz.
Pelantikan ini membuktikan pengiktirafan terhadap kepakaran USIM dalam mengurus acara bertaraf antarabangsa serta sokongan MABOPA terhadap peranan universiti dalam pembangunan industri penerbitan negara.
Lebih signifikan, kejayaan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah IPC 2026 selepas kali terakhir berlangsung di Guadalajara, Mexico pada tahun 2024.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani