MALAYSIA GEMILANG DI PERSADA DUNIA, MURID KOLEJ PERMATA INSAN UKIR KEJAYAAN DI FIPHO 2026

UZBEKISTAN – Dua murid Kolej PERMATA Insan (KPI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengharumkan nama Malaysia apabila masing-masing meraih Pingat Gangsa dan Sanjungan Kehormat dalam Al-Fergani International Physics Olympiad 2026 (FiPho 2026) yang berlangsung di Samarkand, Uzbekistan dari 10 hingga 17 Oktober baru-baru ini.

Iman Haziq bin Mohd Haris berjaya meraih Pingat Gangsa, manakala Nurzahra binti Zulkifli menerima Sanjungan Kehormat, selain Muhammad Danish Aidan bin Muhamad Noorazizi turut mewakili Malaysia dalam pertandingan berkenaan.

FiPho 2026 menghimpunkan 107 peserta dari 15 negara dan wilayah, termasuk Rusia, China dan tuan rumah Uzbekistan, sekali gus memberi peluang kepada wakil Malaysia menguji keupayaan dalam persaingan fizik di peringkat antarabangsa.

Pertandingan tersebut menguji penguasaan peserta dalam aspek teori dan eksperimen fizik, selain kemahiran pemikiran kritis, analitikal serta penyelesaian masalah kompleks.

Pensyarah selaku pegawai pengiring, Dr. Nor Raihan Zulkefly berkata, kejayaan pasukan Malaysia merupakan hasil usaha, komitmen, disiplin, pengorbanan dan semangat kerjasama seluruh pasukan.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan saya ucapkan kepada seluruh ahli pasukan atas kejayaan kita meraih kemenangan dalam FiPho 2026 di Uzbekistan. Kejayaan ini bukan milik individu semata-mata, tetapi hasil usaha, komitmen, disiplin, pengorbanan dan semangat kerjasama seluruh pasukan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Kolej PERMATA Insan, jurulatih, ibu bapa serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus melangkah lebih jauh, mengharumkan nama negara dan membuktikan bahawa dengan ilmu, usaha serta semangat berpasukan, kita mampu mencapai kecemerlangan di peringkat dunia,” katanya.

Pencapaian tersebut membuktikan potensi murid Kolej PERMATA Insan dalam bidang sains dan fizik, selain memberi pengalaman kepada mereka untuk bersaing serta berinteraksi dalam persekitaran akademik antarabangsa.

Pasukan Malaysia dalam pertandingan itu turut diiringi Ts. Dr. Hatika Kaco bersama Dr. Nor Raihan Zulkefly.

Kejayaan berkenaan turut mendapat sokongan warga Kolej PERMATA Insan, jurulatih, ibu bapa dan Badan MUAFAKAT dalam membantu pembangunan potensi serta kecemerlangan murid.