NILAI – Kehadiran pasangan kembar Muhammad Fahim bin Mohd Jumari dan adiknya, Muhammad Fahmi bin Mohd Jumari, 19, mencuri perhatian pada pendaftaran pelajar baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sesi akademik 2025/2026.
Anak keempat dan kelima daripada enam beradik ini berasal dari Tangkak, Johor, dan kedua-duanya memilih untuk menyambung pengajian dalam program Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.
Pasangan kembar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari Sekolah Menengah Agama LughatuL Quran ini bukan sahaja berkongsi cita-cita untuk menjadi ustaz atau guru demi berbakti kepada masyarakat, malah turut mempunyai minat yang sama dalam bidang sukan.
Semasa di bangku sekolah menengah, mereka aktif mewakili daerah Tangkak dalam Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) ketika di tingkatan 4, 5 dan 6. Pencapaian terbaik mereka adalah meraih tempat ke-4 semasa tingkatan 5. Selain itu, mereka juga pernah mewakili negeri Johor dalam Kejohanan Sukan Sekolah Agama Malaysia (KESSUMA) pada tingkatan 4 dan 5.
Bagi Fahim dan Fahmi, keberanian menyeimbangkan dunia akademik dengan sukan telah memupuk disiplin dan daya saing yang tinggi. Kini, memasuki alam universiti, mereka tekad untuk mengekalkan semangat itu dalam mengejar kecemerlangan ilmu.
“Harapan kami adalah untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang, seterusnya membalas jasa ibu bapa dan keluarga yang sentiasa menyokong. Insya-Allah, kami mahu menjadi insan bermanfaat kepada masyarakat melalui ilmu dan didikan yang diperoleh di USIM,” ujar mereka.
Kisah kembar ini menyerlahkan keunikan semangat sejiwa dalam dunia akademik dan sukan, sekali gus menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pelajar baharu bahawa perjalanan menuntut ilmu akan lebih bermakna dengan sokongan keluarga, tekad yang jelas, dan semangat kebersamaan.