NILAI – Penganjuran 7th USIM International Health Conference (IHEC) 2026 menjadi platform penting untuk menghimpunkan kepakaran akademia, pengamal kesihatan dan pemain industri dalam meneroka pendekatan baharu bagi memperkukuh masa depan sistem kesihatan. Sebanyak 46 pembentangan lisan dan 115 pembentangan poster yang merangkumi hasil penyelidikan asal, laporan kes, inovasi, projek penambahbaikan kualiti serta kertas ulasan daripada pelbagai bidang kesihatan telah dibentangkan pada persidangan kali ini.
Berlangsung selama dua hari bermula 7 hingga 8 Oktober 2026 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), persidangan bertemakan “Transforming Health Through Innovation” itu mengetengahkan perkembangan terkini dalam bidang perubatan, kesihatan awam, pendidikan perubatan, kesihatan digital, kecerdasan buatan (AI), penyelidikan klinikal serta kesihatan holistik.
Naib Canselor USIM, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, IHEC 2026 bukan sekadar medan perkongsian hasil penyelidikan, sebaliknya menjadi ruang untuk mempertemukan pelbagai disiplin dalam mencari penyelesaian yang mampu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada masyarakat.
“Penganjuran IHEC 2026 memperlihatkan komitmen USIM untuk menghubungkan ilmu, penyelidikan dan inovasi dengan keperluan sebenar masyarakat. Perkembangan teknologi dalam bidang kesihatan perlu bergerak seiring dengan pertimbangan etika, nilai kemanusiaan dan kesejahteraan insan”.
“Sehubungan itu, pelancaran jurnal Al Hayah turut menjadi sebahagian daripada usaha memperluas pemikiran dan pendekatan kita terhadap kesihatan secara lebih menyeluruh. Kita mahu inovasi kesihatan bukan sahaja menghasilkan kemajuan dari sudut teknologi dan klinikal, tetapi turut memberi nilai kepada kehidupan serta meningkatkan kualiti kesejahteraan manusia,” katanya.
Menurutnya lagi, integrasi antara sains moden, amalan klinikal, teknologi dan nilai Naqli penting bagi memastikan perkembangan bidang kesihatan sentiasa berpaksikan keperluan manusia. USIM percaya bahawa kejayaan dalam bidang kesihatan tidak hanya diukur melalui kecanggihan teknologi atau penemuan baharu, tetapi juga sejauh mana ilmu tersebut dapat menjaga maruah manusia, meningkatkan kualiti hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Persidangan turut menampilkan ucaptama dari tokoh dan pakar perubatan iaitu Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Pengerusi UCSI Healthcare Group.
Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham berkata, inovasi kesihatan bukan tentang siapa mempunyai teknologi paling canggih, tetapi siapa yang mampu menghasilkan impak paling besar kepada pesakit dan masyarakat.
“Kita perlu memastikan setiap inovasi membawa peningkatan dari segi kualiti, hasil rawatan, kemampuan kos dan akses, supaya kemajuan teknologi benar-benar dapat dinikmati oleh semua dan tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.
Antara pengisian persidangan ialah sesi pleno, forum inovasi, pembentangan penyelidikan serta simposium berkaitan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta kerjasama industri-akademia dan pengkomersialan, selain sesi “Human-Centred Robotics in Healthcare: From Therapeutic Innovation to Real-World Care” dan “Beyond Proof-of-Concept: Commercialisation Challenges in Diagnostic Innovation”.
Menerusi IHEC 2026, USIM terus memperkukuh jaringan antara penyelidik, profesional kesihatan, institusi akademik dan industri bagi memastikan hasil penyelidikan serta inovasi dapat dikembangkan daripada peringkat idea kepada penyelesaian yang memberi impak kepada masyarakat.



