NILAI – Seramai 120 peserta menyertai Kejohanan Golf Amal Rakan Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2026 di Nilai Springs Golf and Country Club, yang dianjurkan bagi mengumpul dana untuk menyokong kebajikan dan pembangunan atlet USIM.
Kejohanan anjuran Kelab Golf USIM dengan kerjasama Pusat Sukan yang berlangsung pada 3 Oktober baru-baru ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara universiti dengan rakan strategik, sektor korporat dan industri.
Dana yang dikumpulkan akan dimanfaatkan bagi menyokong penyertaan atlet dalam kejohanan golf Universiti Awam serta pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pro Canselor USIM, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar aktiviti sukan, malah menjadi ruang untuk membina jaringan dan kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada universiti serta mahasiswa.
“Kejohanan Golf Amal Rakan Strategik USIM 2026 bukan sekadar sebuah kejohanan sukan, tetapi merupakan platform untuk memperkukuh hubungan, jaringan dan kerjasama strategik antara USIM dengan rakan-rakan strategik universiti.”
Beliau berkata, sokongan rakan strategik turut memberikan nilai tambah kepada pembangunan mahasiswa, khususnya dalam aspek kebajikan, pembangunan bakat dan penglibatan dalam aktiviti universiti.
Pada masa sama, kejohanan berkenaan membuka ruang kepada universiti dan pihak industri untuk meneroka kerjasama dalam bidang pendidikan, pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan, penyelidikan, sukan dan tanggungjawab sosial.
Penganjuran itu mendapat sokongan VSD Automation Sdn. Bhd. dan Docto Aircond Sdn. Bhd. sebagai penaja bersama, selain sumbangan Mechtex Enterprise, Bank Islam Malaysia Berhad, NMH Engineering Services Sdn. Bhd., Ajinomoto Malaysia Berhad serta penaja-penaja lain.
Kejohanan Golf Amal Rakan Strategik USIM 2026 diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara universiti dan rakan strategik, khususnya dalam menyokong pembangunan atlet serta mahasiswa.
Oleh: Mohamad Fitri Salim





