NILAI – Teknologi dental 3D printing yang mampu memendekkan proses penghasilan model pergigian daripada beberapa minggu kepada sekitar 24 jam menjadi antara inovasi yang diperkenalkan menerusi Makmal Pergigian Digital, Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Kemudahan tersebut menjadi langkah strategik universiti untuk memperkukuh penerapan teknologi digital dalam pendidikan, penyelidikan, latihan profesional dan perkhidmatan pergigian, selari dengan hasrat menjadi perintis dalam bidang pergigian digital di Malaysia.
Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, pembangunan makmal berkenaan mencerminkan kesiapsiagaan universiti dalam mendepani perubahan teknologi dalam bidang pergigian.
“Teknologi seperti imbasan digital, CAD-CAM, cetakan tiga dimensi, milling dan kecerdasan buatan semakin menjadi sebahagian daripada landskap pendidikan serta amalan klinikal. Kewujudan makmal ini penting bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari sudut klinikal, tetapi juga celik teknologi, inovatif dan bersedia menghadapi perubahan profesion,” katanya.
Dekan Fakulti Pergigian, Dr. Ainuddin Yushar Yusof berkata, makmal tersebut turut diperkasakan menerusi projek Immersive Learning Space (ILS) bernilai RM700,000 dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif kepada mahasiswa.
Sementara itu, pensyarah Fakulti Pergigian, Prof. Madya Dr. Norlela Yacob turut menjelaskan teknologi cetakan 3D yang turut menjadi sebahagian daripada penyelidikan PhD beliau membolehkan proses imbasan dan penghasilan model gigi dilakukan dengan lebih pantas serta tepat untuk kegunaan seperti crown, bridge dan prostesis.
“Jika dahulu proses menghasilkan model atau acuan gigi menggunakan kaedah konvensional boleh mengambil masa berminggu-minggu, dengan teknologi cetakan 3D ini proses tersebut boleh disiapkan dalam tempoh sekitar 24 jam sahaja,” katanya.
Menurut beliau, makmal berkenaan juga berpotensi dijadikan pusat latihan pergigian digital kepada universiti, klinik pergigian kerajaan dan swasta, selain membuka ruang kerjasama dengan industri serta institusi kesihatan.
Dalam masa sama, teknologi dan kepakaran tersebut berpotensi diperluaskan melalui perkhidmatan klinik pergigian bergerak bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan, termasuk keperluan prostesis seperti gigi palsu.
“Kerjasama daripada NGO dan pihak luar amat dialu-alukan supaya manfaat teknologi serta kepakaran yang ada di USIM dapat diperluaskan kepada lebih ramai anggota masyarakat,” tambahnya lagi.
Pembukaan Makmal Pergigian Digital itu menjadi platform yang menghubungkan pendidikan, penyelidikan, teknologi dan khidmat komuniti, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem pergigian digital yang lebih menyeluruh.




