NILAI – Lebih 1,500 pelajar antarabangsa daripada 66 negara menyertai Meet and Greet with International Students in Malaysia 2026 (MAGNET 2026) yang mencatat sejarah apabila penganjurannya buat pertama kali digerakkan menerusi kerjasama Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), selain meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Penganjuran MAGNET 2026 oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama INTI International University and Colleges itu dilaksanakan menerusi inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.

Bertemakan “Unity in Diversity: Bridging Cultures, Inspiring Futures”, MAGNET 2026 menjadi platform yang menghimpunkan mahasiswa antarabangsa dan tempatan dalam suasana silang budaya menerusi interaksi, jaringan persahabatan serta perkongsian pengalaman.

Penyertaan kali ini melibatkan pelajar daripada 20 UA dan lebih 50 IPTS, dengan jumlah penyertaan tertinggi direkodkan dari Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Sudan dan China.

Keunikan penganjuran turut terserlah menerusi pelancaran Edutourism Centre of Excellence (EDUCoE), yang menghimpunkan kepakaran institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan, industri dan komuniti dalam membangunkan pengalaman serta pakej pelancongan pendidikan berasaskan warisan dan identiti tempatan.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kerjasama antara UA dan IPTS dalam penganjuran MAGNET 2026 menunjukkan potensi sinergi merentas sektor dalam memperkukuh pengalaman mahasiswa antarabangsa di Malaysia.

“Ini merupakan julung kalinya kolaborasi antara UA dan IPTS diadakan bagi menganjurkan MAGNET. Saya percaya ini merupakan satu model yang sangat baik di mana UA dan IPTS berganding bahu sebagai rakan kerjasama dalam menyambut kehadiran pelajar dari segenap pelosok dunia,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran di Negeri Sembilan turut memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mengenali budaya, warisan dan masyarakat Malaysia secara lebih dekat.

“Menerusi MAGNET, kita bukan sekadar mempelawa pelajar antarabangsa untuk menuntut ilmu di Malaysia, malah kita menjemput mereka merasai sendiri kehangatan budi pekerti rakyat Malaysia, memahami warisan kita, serta membawa pulang secebis pengalaman bermakna ke tanah air masing-masing,” katanya.

Majlis penutup MAGNET 2026 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang juga berinteraksi secara bersemuka dengan para peserta menerusi program beliau, In Person With Doc Zam.

MAGNET 2026 turut menerima pengiktirafan MBOR bagi kategori “Bilangan Tertinggi Kewarganegaraan Bersatu dalam Ikrar Inklusiviti Universiti”, sekali gus menjadi antara pencapaian utama penganjuran edisi kali ini.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan penyertaan pelbagai kewarganegaraan dalam satu platform yang mengangkat nilai keterangkuman, persefahaman dan saling menghormati dalam komuniti pendidikan tinggi antarabangsa.

Penganjuran MAGNET 2026 juga memperlihatkan usaha memperkukuh pengalaman pelajar antarabangsa bukan hanya melalui pendidikan formal, tetapi turut menerusi pendedahan kepada budaya, warisan dan kehidupan masyarakat tempatan.

 

Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin