NILAI,  – Seramai 105 mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima manfaat menerusi Program FSU Care4Siswa 2026 yang berlangsung di Dewan Kuliah Fakulti (DKF) 1.1, FSU pada 23 September 2026 baru-baru ini.

Program yang memberi tumpuan kepada mahasiswa yang memerlukan itu bertujuan meringankan beban perbelanjaan harian, di samping memupuk keprihatinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga fakulti.

Pengarah program, Wardah Nur Manesya Binti Ramli berkata, inisiatif tersebut membantu mahasiswa yang berdepan cabaran memenuhi keperluan asas, khususnya mereka yang menetap di luar kampus dan perlu menanggung kos sewa rumah, pengangkutan serta makanan.

“FSU Care4Siswa merupakan salah satu platform untuk membantu meringankan beban dan memenuhi keperluan asas mahasiswa yang memerlukan,” katanya.

Program berkenaan mendapat sokongan dan sumbangan daripada Bucida Engineering & Consultancy Sdn. Bhd., Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Company Blesses serta Yakult Malaysia Sdn. Bhd.

Sementara itu, Ketua Program Sarjana Muda Syariah Industri Halal, Dr. Siti Syahirah Saffinee berkata, FSU Care4Siswa membawa mesej yang lebih besar daripada pengagihan barangan asas semata-mata.

“Program ini bukan sekadar mengenai pengagihan barangan asas. Lebih besar daripada itu, ia membawa mesej bahawa kita sebagai satu komuniti perlu saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain,” katanya.

Menurut beliau, usaha tersebut dapat membantu membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai ihsan, empati, integriti dan tanggungjawab sosial.

Selain pengagihan barangan asas, program itu turut merangkumi perkongsian berkaitan kesihatan. Dr. Siti Syahirah berkata, aspek makanan, kesihatan dan kesejahteraan berkait rapat dengan konsep halalan tayyiban yang menekankan sesuatu yang halal, baik, selamat dan bermanfaat.

Beliau turut menggalakkan mahasiswa penerima manfaat agar menjadikan bantuan tersebut sebagai dorongan untuk terus berusaha dan membantu orang lain apabila berkemampuan kelak.

Program FSU Care4Siswa 2026 mencerminkan komitmen warga FSU untuk saling membantu serta menyokong kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.

Oleh: Ihsan Hakim Bin Zefendy