NILAI – Foodbank Dapur Siswa MADANI di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyediakan barangan makanan asas kepada mahasiswa yang memerlukan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup sepanjang pengajian.

Inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu diselaraskan di USIM oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Pelaksanaannya turut mendapat sokongan fakulti, Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ), Pusat Islam serta Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) bagi memperluas akses mahasiswa kepada kemudahan tersebut.

MPP bertanggungjawab mengurus pengambilan barangan, memantau stok makanan serta menyampaikan maklumat berkaitan Foodbank kepada mahasiswa.

Timbalan Bendahari Kehormat MPP, Ahmad Rifqie Mohd Yusri berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan mendapatkan barangan makanan asas.

“Kita memahami bahawa setiap pelajar mempunyai latar belakang dan kemampuan kewangan yang berbeza, oleh itu inisiatif ini diharapkan dapat membantu pelajar yang menghadapi kekangan kewangan mendapatkan barangan makanan asas dengan lebih mudah,” katanya.

Menurut beliau, bantuan tersebut diharap dapat mengurangkan tekanan berkaitan keperluan harian supaya mahasiswa dapat memberikan tumpuan kepada pengajian dan pembangunan diri.

“Paling penting, kami berharap inisiatif ini dapat membantu melahirkan mahasiswa yang lebih sejahtera, mempunyai kebajikan yang terjaga dan dapat memberikan tumpuan kepada kecemerlangan akademik serta pembangunan diri,” katanya.

Beliau turut berharap kemudahan itu terus dimanfaatkan oleh mahasiswa yang memerlukan. Usaha menambah baik kepelbagaian barangan, pengurusan stok dan akses mahasiswa boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut peruntukan, kelulusan serta keperluan universiti.

Mahasiswa yang memerlukan digalakkan menggunakan kemudahan tersebut secara berhemah, manakala warga kampus yang berkemampuan diseru untuk bersama-sama memupuk budaya saling membantu.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar