KUALA LUMPUR – Kursus Pensijilan Addiction Recovery Coach (ARC) yang berlangsung selama lima hari memberi penekanan kepada pendekatan pemulihan ketagihan yang menggabungkan pengetahuan saintifik, pengalaman komuniti dan elemen psikospiritual.

Kursus yang berlangsung dari 26 hingga 30 September 2026 di Kingston Hotel, Kuala Lumpur itu dianjurkan oleh Pengasih Malaysia dengan sokongan Pusat Penyelidikan Dadah Asian (ACREDA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Program berkenaan menghimpunkan profesional kesihatan, kaunselor serta pengamal komuniti bagi meningkatkan kompetensi pembimbing dalam menyokong individu melalui proses pemulihan ketagihan.

Menurut pihak penganjur, pendekatan tersebut penting bagi melahirkan pembimbing yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan berkaitan pemulihan, tetapi turut mampu memberikan bimbingan berterusan kepada individu yang sedang melalui proses kepulihan.

Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, penganjuran kursus berkenaan memperlihatkan kepentingan menghubungkan kerangka akademik dengan pengalaman lapangan dalam membangunkan pendekatan pemulihan yang lebih menyeluruh.

“Penganjuran program ini membuktikan pentingnya pengintegrasian antara kerangka akademik dan aplikasi lapangan. Kursus ini melatih para peserta untuk menterjemahkan teori kepimpinan serta bimbingan tingkah laku kepada tindakan praktikal yang holistik demi membina semula kesejahteraan insan,” katanya.

Dalam sesi perkongsian, Ustaz Yusrizal Mohamad dari Pertubuhan Penawar Warisan turut mengetengahkan kepentingan model psikospiritual yang menggabungkan pendekatan psikologi moden dengan pengukuhan rohani dan spiritual.

Pendekatan tersebut dilihat penting dalam membantu kestabilan emosi serta membina daya tahan individu bagi menyokong proses kepulihan dalam jangka panjang.

Bagi peserta, penglibatan bekas residen dan residen semasa Pengasih turut memberikan dimensi praktikal yang melengkapkan pembelajaran teori sepanjang kursus.

Peserta, Puan Najwa Suhaili Muhammad Zin dari Kolej Yayasan Saad, Melaka, berkata pengalaman tersebut turut meningkatkan kesedarannya terhadap aspek etika dan adab ketika berinteraksi dengan komuniti pemulihan.

“Jika sebelum ini pendekatan saya bersama remaja lebih santai, interaksi bersama komuniti pemulihan di sini menyedarkan saya untuk sentiasa berwaspada menjaga tutur kata dan tingkah laku,” katanya.

Pensijilan ARC diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan lebih ramai pembimbing yang kompeten dan beretika serta mampu memberikan sokongan yang lebih holistik kepada individu dalam proses pemulihan ketagihan.