KUALA PILAH – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan komuniti melalui pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI 2025, yang dilancarkan secara rasmi di Kampung Sungai Talan, Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan hari ini.

Majlis penyerahan watikah rasmi program berkenaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, YB Puan Sri Dato’ Hajah Bibi Sharliza Haji Mohd Khalid, pengurusan universiti, agensi kerajaan serta penduduk tempatan.

Program yang digerakkan oleh Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM dengan kerjasama Bahagian Libatsama Masyarakat (BLM) ini mendapat dana sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia, yang disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).

Inisiatif ini menyasarkan pelbagai projek berimpak tinggi termasuk pembangunan infrastruktur, aktiviti pemindahan ilmu, serta pengukuhan hubungan sosial antara universiti dan masyarakat luar bandar.

Dalam ucapannya, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menegaskan bahawa pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI menjadi wahana penting untuk mendekatkan universiti dengan rakyat melalui pendekatan holistik yang memadukan ilmu, nilai dan amalan kemasyarakatan.

“USIM bukan sekadar menyalurkan kepakaran akademik, tetapi kami datang dengan semangat memartabatkan kesejahteraan komuniti. Pembangunan fizikal seperti gelanggang riadah dan penambahbaikan masjid hanyalah permulaan yang lebih penting ialah membina masyarakat berilmu, berdaya dan berakhlak,” ujar beliau.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penduduk kampung yang bekerjasama menjayakan projek berasaskan komuniti, termasuk wakaf tanah di hadapan masjid yang kini menempatkan gelanggang sepak takraw dan futsal sebagai pusat riadah dan interaksi sosial penduduk.

“Tanah wakaf yang diusahakan untuk kemudahan masyarakat ini amat besar nilainya. Ia bukan sekadar tempat bersukan, tetapi simbol sinergi antara masjid, universiti dan komuniti setempat yang berteraskan nilai MADANI,” tambahnya lagi.

USIM Laksanakan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Sungai Talan, Kuala Pilah

Antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan termasuk naiktaraf infrastruktur penting kampung seperti balai raya, masjid dan base hiking Bukit Batu Bujang Lelo yang berpotensi tinggi sebagai lokasi eko-pelancongan serta riadah keluarga.

USIM turut merancang Karnival Juasseh yang bakal menghimpunkan penglibatan pelbagai fakulti seperti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Pergigian (FPg), serta pasukan Quran Buddies bagi mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma, rawatan gigi, dan bimbingan al-Quran kepada penduduk kampung.
“Karnival ini bukan acara sementara, tetapi usaha berterusan untuk menjalin hubungan jangka panjang antara USIM dan masyarakat Juasseh. Inilah makna sebenar universiti yang berjiwa rakyat,” jelas Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin.

Program Kampung Angkat MADANI ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan pendekatan berasaskan komuniti dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Melalui program ini, USIM bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan, tetapi juga sebagai rakan strategik pembangunan sosial dan ekonomi tempatan.

Majlis turut menyaksikan simbolik pelancaran projek pembangunan komuniti, penyerahan watikah rasmi Kampung Angkat MADANI 2025, serahan sumbangan kepada warga asnaf, dan lawatan ke lokasi projek termasuk Pusat Riadah dan Sukan USIM@Komuniti.

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani