NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menerajui agenda inovasi pendidikan Islam apabila memperkenalkan platform digital E-Ifrad, satu inisiatif yang mentransformasi cara pembelajaran ilmu Qiraat agar lebih interaktif, sistematik dan mudah diakses oleh masyarakat sejagat.

Platform yang dibangunkan oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) ini berfungsi sebagai jambatan antara kaedah talaqqi tradisional dengan pembelajaran digital moden, seiring dengan semangat pendigitalan ilmu yang diketengahkan dalam Festival of Idea (FOI) Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung di USIM.

Menurut Dr. Norazman Alias, Pensyarah Kanan FPQS merangkap Ketua Projek, E-Ifrad diwujudkan bagi mengatasi cabaran pelajar Qiraat yang cemerlang dalam bacaan tetapi masih lemah dari segi teori.

“E-Ifrad merupakan usaha memperkukuh pendekatan talaqqi agar kekal relevan dalam era pembelajaran digital tanpa mengabaikan nilai-nilai asal keilmuan Al-Quran,” katanya ketika ditemui semasa pameran inovasi FOI di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Beliau menjelaskan, projek ini mula dirancang sekitar tahun 2019 sebagai kesinambungan kepada modul bercetak dan sesi talaqqi terdahulu. Idea asal E-Ifrad dicetuskan oleh Abdul Mun‘im Halim, alumni USIM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dengan Multimedia (Dengan Kepujian), di bawah bimbingan Dr. Norazman dan Dr. Zulkifly Mohd Zaki.

Menyedari potensi teknologi digital dalam memperluas capaian ilmu, pasukan penyelidik menukar pendekatan kepada bentuk maya yang menggabungkan nota pengajian, bahan multimedia, video panduan serta biodata imam dan sejarah bacaan Qiraat dalam satu laman interaktif menggunakan platform Google Site.

Selain menyediakan sumber pembelajaran yang tersusun, E-Ifrad turut membolehkan pengguna memahami perbandingan antara pelbagai riwayat dan kaedah bacaan Qiraat secara menyeluruh. Walaupun masih di peringkat awal pembangunan, pasukan penyelidik FPQS komited menambah baik antara muka sistem agar lebih mesra pengguna dan boleh diakses melalui pelbagai peranti digital.

“Cabaran utama kami ialah menyeimbangkan antara teknologi dan keaslian ilmu Qiraat. Kami tidak mahu digitalisasi ini menghakis roh talaqqi yang menjadi tunjang pengajian Al-Quran,” tambah Dr. Norazman.

Kejayaan E-Ifrad semakin mendapat pengiktirafan apabila hasil penyelidikan berkaitan platform ini diterima untuk diterbitkan dalam Journal of Sustainability Science and Management (JSSM) terbitan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Volume 2, Number 11, November 2025. Ia sekali gus menandakan pencapaian signifikan bagi penyelidik muda dan pensyarah USIM dalam memperkenalkan inovasi pendidikan Islam yang seimbang antara nilai tradisi dan kemajuan teknologi.

Antara lebih 60 pameran inovasi yang dipamerkan sepanjang Festival of Idea (FOI) Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor bermula pada 29 hingga 31 Oktober 2025, E-Ifrad menjadi antara tumpuan utama pelawat kerana pendekatannya yang menggabungkan warisan talaqqi dan teknologi moden secara harmoni.

Majlis penutup FOI disempurnakan oleh YB Datuk Mohd Faizal bin Ramli, Exco Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, yang turut menzahirkan rasa kagum terhadap inisiatif seperti E-Ifrad yang lahir daripada kolaborasi akademia dan komuniti.

“Festival of Idea bukan sekadar program, tetapi gerakan pemikiran dan kolaborasi inovatif seluruh rakyat Negeri Sembilan. Inovasi seperti E-Ifrad membuktikan bahawa teknologi boleh menjadi jambatan antara kemajuan dan kemanusiaan, antara tradisi dan digitalisasi,” ujar beliau dalam ucapan penutupnya.

YB Datuk Mohd Faizal turut menekankan bahawa Negeri Sembilan kini berusaha memastikan setiap inisiatif inovasi memberi manfaat langsung kepada rakyat, termasuk dalam bidang warisan, pendidikan dan keagamaan.

“Negeri Sembilan dengan tradisi adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah boleh menjadi contoh negeri yang menyeimbangkan warisan dan inovasi serta menjadikan kemajuan bukan sekadar moden, tetapi juga beradab dan berakhlak,” tambahnya.

Festival of Idea Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober 2025 menghimpunkan lebih 20 institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, industri serta komuniti setempat bagi mempersembahkan hasil penyelidikan dan inovasi yang berpotensi dikomersialkan serta memberi impak sosial.

Antara projek yang turut dipamerkan termasuk inovasi penyembelihan mudah alih TREVIS oleh JHEAINS, projek tulisan Braille mesra OKU oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum USIM, dan projek pendigitalan warisan Bunga Lado oleh Galeri Diraja Tuanku Jaafar.

Secara keseluruhannya, pameran E-Ifrad oleh FPQS USIM menyerlahkan komitmen universiti untuk mendepani arus digitalisasi tanpa meninggalkan akar tradisi keilmuan Islam. Ia membuktikan bahawa inovasi digital bukan ancaman kepada tradisi, sebaliknya wadah baharu untuk memperluas keberkatan ilmu Al-Quran kepada masyarakat sejagat.

 

Oleh: Nur Khadija Sulaiman