NILAI— Siapa sangka daging salai yang lazimnya dinikmati dalam hidangan tradisional mampu diolah menjadi snek moden yang berkhasiat, mudah dibawa dan digemari semua peringkat umur? Inilah idea kreatif sekumpulan pelajar tahun akhir Program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang memperkenalkan produk inovatif mereka, “Homemade Beef Jerky” berperisa masak lemak cili padi.
Kumpulan tersebut diketuai oleh Hafiz Irshad Azman, bersama ahli kumpulan Muhammad Muhaimin Zubir, Nurulain Syazwani Azmi, Aisya Mazwin Azhar dan Ahmad Azharudin Nasarudin, di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Nur Huda Faujan. Projek ini dibentangkan sempena Festival of Idea (FOI) Negeri Sembilan 2025, yang berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober di USIM.
Menurut Hafiz, idea tersebut tercetus selepas mereka menyedari trend pengambilan snek di Malaysia yang semakin membimbangkan kerana banyak produk di pasaran mengandungi bahan tambahan serta rendah nilai khasiat.
“Kami mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap snek. Jadi kami hasilkan produk tinggi protein, berkhasiat dan tetap mengekalkan cita rasa tempatan,” jelasnya.
Menariknya, inspirasi produk ini datang daripada “beef jerky” popular di luar negara, terutamanya dalam kalangan masyarakat Native American. Namun kumpulan ini memberi nafas baharu dengan memperkenalkan perisa masak lemak cili padi, masakan tradisional yang amat dekat di hati rakyat Malaysia.
“Orang Malaysia suka sesuatu yang rasa familiar. Jadi kami bawa konsep jerky, tapi dengan sentuhan tradisional,” tambah Hafiz.
Projek yang mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan ini menerima sambutan luar biasa sepanjang festival. Ramai pengunjung dan juri tertarik dengan keunikan rasa serta konsep yang diketengahkan, sehingga semua sampel dan tester yang dibawa habis dalam masa singkat.
Walaupun berdepan cabaran seperti kekangan peralatan di makmal, semangat kumpulan ini tidak pernah pudar.
“Kami terpaksa bergilir menggunakan dehydrator kerana bilangannya terhad. Tapi walaupun penat dengan tugasan tahun akhir, kami tetap teruskan sebab nak hasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan,” kata Hafiz.
Bagi mereka, peluang membentangkan projek di hadapan panel profesional termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sunshine Bread Company menjadi pengalaman paling berharga sepanjang pengajian.
“Walaupun semuanya disiapkan pada saat akhir, pengalaman ini memang unforgettable. Kami belajar banyak perkara tentang inovasi makanan dan cara mempersembahkan idea kepada audiens,” ujar Hafiz lagi.
Melihat potensi besar produk tersebut, kumpulan ini bercadang untuk meneruskan usaha selepas festival dengan membuka tempahan sekiranya berpeluang.
“Permintaan tinggi semasa festival buat kami yakin produk ini boleh pergi jauh. Insha-Allah kalau ada rezeki, kami akan teruskan,” katanya penuh semangat.
Sebagai pesanan kepada pelajar lain yang ingin menyertai festival pada masa akan datang, Hafiz menitipkan semangat motivasi:
“Jangan takut untuk mencuba. Berani lontarkan idea walaupun nampak kecil, sebab dari situlah inovasi sebenar bermula.”
Oleh: Muhammad Iqbal Sham Shor Annuar

