NILAI – Malaysian Journal of Syariah and Law (MJSL) di bawah pengurusan Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengukuhkan reputasinya di persada penerbitan ilmiah apabila menerima pengiktirafan berprestij dalam Anugerah CREME Jurnal 2025, iaitu salah satu kategori penghargaan di bawah Malaysia Scopus Research Star Award 2025.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah berlangsung pada 6 November 2025 di Everly Hotel, Putrajaya dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Pengiktirafan ini sekali lagi menegaskan kedudukan MJSL sebagai jurnal akademik terkemuka dalam bidang syariah dan undang-undang, bukan sahaja di Malaysia malah turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Penganugerahan ini mencerminkan keunggulan pengurusan jurnal MJSL yang mematuhi standard akademik antarabangsa, termasuk proses editorial yang telus, sistematik dan berintegriti. Ia juga memperlihatkan sumbangan besar jurnal tersebut dalam memartabatkan penyelidikan syariah dan undang-undang melalui penerbitan artikel berimpak tinggi daripada sarjana tempatan serta antarabangsa.

Ketua Editor MJSL, Prof. Madya Dr. Ahmad Syukran Baharuddin berkata bahawa penganugerahan tersebut merupakan satu penghormatan besar buat MJSL dan USIM.

“Sokongan dan pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi memberi motivasi untuk kami terus meningkatkan mutu penerbitan akademik. Kami komited memastikan MJSL kekal relevan dan berimpak tinggi di persada penerbitan ilmiah,” katanya.

Pengiktirafan dalam Anugerah CREME Jurnal 2025 ini turut membuka peluang untuk memperkukuh jaringan sitasi dan kolaborasi akademik di peringkat global, seterusnya mengukuhkan kredibiliti Penerbit USIM sebagai sebuah penerbit akademik yang berwibawa.

MJSL dijangka terus menjadi wadah penting dalam menyumbang kepada wacana ilmu dan perkembangan penyelidikan dalam bidang syariah dan undang-undang, seiring aspirasi USIM untuk memacu kecemerlangan akademik bertaraf antarabangsa.

USIM optimis bahawa momentum kecemerlangan ini akan terus membawa jurnal tersebut ke peringkat lebih tinggi melalui inovasi dalam penerbitan, kualiti penyelidikan yang berterusan dan jaringan akademik yang semakin meluas.

 

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani