NILAI – Kepakaran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang keselamatan siber terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Prof. Ts. Dr. Madihah Mohd Saudi, Profesor Fakulti Sains dan Teknologi dipilih oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur untuk menyertai International Visitor Leadership Program (IVLP), program pertukaran profesional utama Kerajaan Amerika Syarikat.
Beliau menyertai program khas bertajuk “Advancing Malaysia Cyber-Security Infrastructure and U.S. Cooperation” yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 11 September 2026 di Amerika Syarikat.
Prof. Ts. Dr. Madihah berkata, program berkenaan memberi fokus kepada strategi menangani ancaman siber terhadap ekonomi, keselamatan digital dan privasi, selain aspek perundangan jenayah siber, pelaksanaan dasar, penguatkuasaan, inovasi serta kerjasama antarabangsa.
“Kajian berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan Model Tadbir Urus dan Model Operasi CCFC yang berupaya menyokong penyelarasan lebih sistematik antara pihak berkepentingan dalam ekosistem keselamatan dan penguatkuasaan siber negara”, ujarnya.
Pemilihan Prof. Madihah ke program tersebut turut signifikan dengan peranan beliau yang kini mengetuai kajian pembangunan Cyber Crime Fusion Centre (CCFC) bagi memperkukuh pendekatan bersepadu Malaysia dalam menangani jenayah siber.
Kepimpinan beliau dalam projek CCFC turut diketengahkan oleh Menteri Dalam Negeri semasa 6th International Cyber Resilience Conference (CRC 2026).
Penyertaan dalam IVLP membuka ruang kepada Prof. Madihah untuk memperluas pendedahan serta jaringan strategik dalam aspek tadbir urus siber, perkongsian risikan, penguatkuasaan, teknologi dan kerjasama pelbagai agensi.
Pengalaman serta jaringan yang diperoleh menerusi program itu dijangka dapat dimanfaatkan dalam pembangunan CCFC, khususnya bagi memperkukuh model kerjasama dan pendekatan Malaysia dalam menangani ancaman serta jenayah siber yang semakin kompleks.
Penglibatan Prof. Madihah dalam program berprestij tersebut sekali gus memperkukuh peranan USIM dalam penyelidikan keselamatan siber berimpak nasional, di samping membuka ruang kepada jaringan kerjasama lebih luas antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam bidang keselamatan siber serta usaha memerangi jenayah siber.


