NILAI, 25 November 2025 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar sejarah baharu apabila berjaya melahirkan empat graduan sulung Program Sarjana Sains Pergigian Gunaan di bawah Fakulti Pergigian (FPg).

Graduan perintis tersebut ialah Nurul Kauthar Mohamad Khari, 34, Farishah Nur Abd Samad, 32, Vishalah Retna a/p Retnasingam, 39, dan Munirah Mohd Rosali, 36, merupakan antara 204 graduan yang menerima ijazah pada majlis konvokesyen Sidang Pertama yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USIM, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud hari ini

Mereka mengambil masa setahun untuk menamatkan pengajian sarjana sebelum meneruskan perjalanan akademik ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) selama tiga tahun.

Kehadiran mereka sebagai kumpulan graduan pertama program unik ini membuktikan komitmen USIM dalam menyediakan platform akademik berimpak tinggi yang melahirkan pakar bukan sahaja berkemahiran klinikal, tetapi juga mahir dalam bidang sains pergigian gunaan seperti bioteknologi dan teknologi bahan pergigian moden.

Sepanjang tempoh pengajian, para graduan bukan sahaja mempelajari aspek kesihatan dan pergigian, malah turut diberi peluang mendalami integrasi ilmu Naqli dan Aqli, sejajar dengan falsafah pendidikan USIM yang inklusif kepada semua pelajar, tanpa mengira latar belakang agama.

“Saya rasa belajar tentang ilmu agama Islam sangat memberi manfaat kerana Malaysia negara berbilang kaum. Adalah baik untuk memahami agama lain,” ujar Dr. Vishalah Retna.

Pengalaman ini menjadi bukti bagaimana USIM membentuk graduan yang seimbang dari segi rohani dan intelektual, sekali gus mampu memberikan nilai tambah dalam penjagaan kesihatan oral masyarakat.

Berkongsi mengenai perancangan masa hadapan, Dr. Vishalah Retna merupakan penerima tajaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa kesemua mereka kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD selama tiga tahun.

Sementara itu, Dr. Farishah Nur Abd Samad berkata dorongan serta semangat daripada kedua-dua ibu bapanya yang juga merupakan pensyarah menjadi pendorong utama untuk terus menuntut ilmu hingga ke peringkat tertinggi.

Sebagai graduan sulung program ini, mereka turut menzahirkan penghargaan kepada para pensyarah FPg yang menjadi tulang belakang sepanjang tempoh pengajian. Mereka berharap agar graduan USIM, khususnya dalam bidang pergigian, akan terus komited menggabungkan etika profesional dan integriti seterusnya menjadi model pakar pergigian Muslim yang holistik dan disegani.

Oleh: Iqbal Ilyas Bin Mohd Nordin, Siti Nur Insyiraah Binti Sh Hussin, Nur Khadija Binti Sulaiman, Nur Fatin Atiqah Binti Mokhtar.