NILAI – Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menyaksikan sebuah detik penuh emosi apabila seorang graduan Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP), Sharifah Shafika Amira Syed Shikh Mawardi, 29, melangkah ke pentas menerima skrol dalam keadaan diuji dengan dugaan keluarga yang amat berat.
Sharifah, yang berasal dari Kulim, Kedah, menamatkan pengajian ketika suaminya masih koma sejak 18 Mei lalu selepas terlibat dalam kemalangan motosikal berhampiran rumah mereka. Kejadian yang berlaku sekitar jam 10 malam itu menyebabkan suaminya mengalami Traumatic Brain Injury (TBI) dengan pendarahan serius di bahagian kanan otak sehingga menghilangkan sebahagian fungsi saraf.
Sejak tragedi itu, rutin hidup Sharifah berubah sepenuhnya. Di samping menguruskan kuliah dan tugasan, beliau perlu menjaga suami di hospital dan membesarkan anak perempuan yang masih kecil. Namun dalam keadaan perit, beliau tetap berulang-alik dari Kulim ke USIM setiap minggu untuk menghadiri kelas serta peperiksaan dengan memandu seorang diri antara dua negeri tanpa pernah culas.
Sharifah mengakui beliau turut berdepan kekangan kelengkapan belajar kerana tidak memiliki komputer riba. Tugasan hanya dapat disiapkan di pejabat sebelum beliau akhirnya membeli laptop terpakai secara ansuran agar dapat menyiapkan kerja-kerja pengajian di hospital sambil menemani suaminya.
Di sebalik kesukaran itu, sokongan keluarga, terutama ayahnya Encik Syed Shikh Mawardi, 61, menjadi pendorong utama yang memastikan beliau terus bertahan. Ayahnya membantu menjaga cucu, mengurus persekolahan malah membeli semula kereta Sharifah bagi membolehkan yuran pengajian DIJAP diselesaikan.
“Ayah saya adalah tulang belakang saya. Kalau bukan kerana pengorbanan beliau, saya tak mungkin berada di sini hari ini,” kata Sharifah ketika ditemui.
Walaupun suami tidak dapat hadir pada hari penuh bermakna ini, Sharifah memastikan detik istimewa tetap dikongsi bersama insan tersayang. Pada hari pengambilan jubah, beliau terlebih dahulu melawat suaminya untuk merakam gambar bersama sebagai tanda perjalanan pendidikan yang ditempuhi bersama-sama, walaupun dalam keadaan suaminya tidak sedarkan diri.
Kisah Sharifah menjadi cerminan ketabahan dan komitmen seorang isteri serta ibu dalam meneruskan pengajian meskipun berdepan ujian yang berat. Kejayaannya hari ini bukan sekadar pengiktirafan akademik, tetapi juga kemenangan terhadap kesukaran hidup yang ditempuhi dengan penuh kekuatan.
USIM menyanjung tinggi usaha gigih beliau dan mengangkat kisah ini sebagai inspirasi buat seluruh mahasiswa yang sedang berdepan ujian masing-masing dalam mengejar cita-cita.
Oleh: Muhammad Iqbal Sham Shor Annuar & Ahmad Ameer Izzudin Ahmad Ishak
