NILAI — Muhammad Firdaus Mazrishammin, graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), membuktikan kecekalan luar biasa apabila berjaya menamatkan pengajiannya meskipun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2023.
Ketika kejadian, Firdaus, 25, sedang berada di tahun akhir pengajian dan bercuti semester sebelum memulakan latihan industri. Kemalangan itu meninggalkan kecederaan yang amat serius termasuk tengkorak retak dan pendarahan otak sehingga memaksanya menjalani pembedahan segera dan bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selama 46 hari.
Akibat kecederaan itu, beliau mengalami kelumpuhan sebelah kanan badan dan tidak mampu menggerakkan tangan atau berjalan. Walaupun kini sudah menunjukkan perkembangan ketara, beliau masih memerlukan bantuan ibunya, Hamidah binti Jalaludin, 50, serta rawatan berkala oleh lebih 13 orang doktor pakar. Keajaiban kemajuannya menyebabkan beliau digelar “Miracle Boy” oleh pakar rehabilitasi.
Cabaran Firdaus tidak terhenti di situ. Proses mencari tempat latihan industri menjadi ujian besar apabila lebih 10 syarikat menolak permohonannya disebabkan faktor kesihatan. Namun USIM tampil membantu dengan memberi kelonggaran khas membenarkannya menjalani latihan industri di USIM.
Firdaus ditempatkan dalam tugasan yang tidak memerlukan pergerakan fizikal berat, antaranya berkaitan pengurusan, penyelidikan hukum, analisis halal dan kajian syariah dalam sektor industri halal.
Ibunya turut mengakui tempoh pemulihan itu amat mencabar secara fizikal dan emosi. Beliau perlu menguruskan temujanji hospital yang kadangkala berlaku setiap hari atau selang sehari, memandangkan suami bekerja sebagai jurulatih kapal laut dan jarang dapat bercuti.
Firdaus menzahirkan penghargaan mendalam terhadap keluarganya yang menjadi tulang belakang sepanjang pemulihan dan pengajian.
“Tanpa keluarga, saya mungkin tidak berada di tahap kesihatan hari ini,” katanya.
Ibunya turut menitipkan pesanan kepada ibu bapa lain agar tidak berputus asa dan memberi sokongan sepenuhnya kepada anak-anak yang diuji.
Firdaus pula menjadikan Surah al-Baqarah ayat 286 sebagai pegangan hidup meyakini bahawa Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Oleh: Muhammad Imran Syauqi bin Salihudin

